ECRL Di N.Sembilan, Gula-Gula PRK Rantau?

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) digesa memberikan penjelasan berhubung kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkaitan perubahan jajaran projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, PH juga perlu menjelaskan mengapa secara tiba-tiba projek tersebut dikatakan akan memberi impak kepada rakyat di Negeri Sembilan.

“Apa faktor yang mendorong PH untuk mengumumkan bahawa Negeri Sembilan mungkin mendapat manfaat daripada laluan tersebut yang mana laluan asalnya daripada Pelabuhan Klang, Selangor dan Pengkalan Kubor, Kelantan.

“Adakah terdapat pelabuhan yang lebih baik di Negeri Sembilan daripada Pelabuhan Klang yang merupakan pelabuhan terbesar di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Soalnya lagi, adakah PH mempunyai alasan yang kukuh berhubung jajaran baharu atau sekadar untuk mendapatkan sokongan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

“Kami mempunyai sebab untuk mempercayai pengumuman secara tiba-tiba itu adalah satu lagi gula-gula pilihan raya untuk pengundi Rantau.

“ECRL kini digunakan oleh PH untuk menarik perhatian pengundi Rantau,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Loading...