Ebby Yus Terkejut Najib Datang Ziarah

“BELIAU meminta saya menjaga pemakanan harian,” kata pelakon dan pelawak popular, Ebby Yus, 55, yang menerima kunjungan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di kediamannya di Kampung Baru, Kuala Lumpur, hari ini.

Ebby berkata, dia terkejut apabila dihubungi pembantu peribadi Najib semalam memaklumkan Ahli Parlimen Pekan itu akan berkunjung ke rumahnya pada pagi, hari ini.

“Beliau meminta saya menjaga pemakanan supaya tidak dijangkiti penyakit dengan mudah. Najib banyak memberi kata-kata semangat kepada saya,” katanya.

Dalam kunjungan selama kira-kira 15 minit itu, Najib banyak bertanya mengenai perkembangan kesihatan Ebby. Sebelum ini, berita mengenai keadaan kesihatan Ebby mendapat liputan meluas selepas dia memaklumkan masalah buah pinggang dan jantung yang dialaminya semakin serius hingga menyukarkan dia untuk bekerja.

“Beliau luangkan masa datang menziarah selepas mengetahuinya menerusi laporan berita yang disiarkan mengenai keadaan saya.

“Sebagai tuan rumah, saya terima kedatangannya dengan hati terbuka sebagai tetamu untuk bertanya khabar secara lebih dekat,” katanya.

Ebby yang juga pelakon utama sitkom Jawatankuasa Kampung Kalut (JKK) di TV3 berkata, Najib memang mengenalinya kerana dia banyak terbabit dalam program anjuran kerajaan sebelum ini.

“Sebenarnya, setiap tahun ketika sambutan Aidilfitri saya selalu diundang untuk terbabit dalam persembahan di kediaman rasmi Perdana Menteri.

“Malah, ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, saya memang selalu mendapat undangan persembahan daripada kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Ebby juga teruja kerana dia akan berangkat ke Makkah untuk mengerjakan umrah esok hingga 8 Februari ini.

“Syukur, saya kini tak sabar untuk menjejakkan kaki ke Makkah bersama rakan yang menemani untuk sama-sama beribadah di sana nanti.

“Doakan saya selamat pergi dan balik mengerjakan umrah itu,” katanya yang dijangka berangkat dalam penerbangan jam 6 petang esok. – myMetro Online