EAC Giat Adakan Libat Urus Dengan Pemegang Taruh

KOTA BHARU – Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) sedang giat mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh untuk mendapatkan maklum balas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata kerajaan sentiasa mendengar keluhan rakyat, terutama golongan usahawan dan peniaga dalam menghadapi impak langkah penguatkuasaan bagi mengekang penularan COVID-19 itu.

Beliau berkata, libat urus berkenaan penting bagi membantu kerajaan mengambil langkah susulan berdasarkan keadaan semasa.

“Menyedari usahawan ialah antara golongan terjejas akibat pandemik, kerajaan akan mempertimbangkan beberapa perkara yang perlu diberi perhatian untuk memastikan pemulihan dan pengekalan operasi perniagaan ketika negara sedang berdepan penularan COVID-19.

“Pada masa sama, peranan SME Bank juga dilihat penting sebagai salah satu usaha membantu peniaga atau usahawan yang terjejas, untuk memulihkan semula perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan sesi libat urus secara dalam talian bersama persatuan perniagaan di Kelantan berhubung impak pelaksanaan PKP 3.0 ke atas usahawan, semalam.

SME Corp Malaysia bertindak sebagai urus setia sesi libat urus selama dua jam itu yang disertai 16 wakil daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) di Kelantan.

Pengarah Eksekutif EAC, Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, turut menjayakan sesi berkenaan.

Sementara itu, wakil Persatuan Pengusaha Bas Kelantan, Ibrahim Che Ismail meminta supaya kebenaran diberikan kepada mereka yang sudah menerima vaksin COVID-19, untuk merentas negeri dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata, langkah itu sekali gus dapat membantu pengusaha bas ekspres untuk menjana pendapatan.

“Bagi sesiapa yang hendak merentas negeri, kerajaan perlu menetapkan syarat supaya mereka menggunakan perkhidmatan awam kerana ia akan memudahkan MKN untuk bertindak sekiranya berlaku apa-apa.

“Pada masa sama, saya juga berharap pihak berkaitan mengambil maklum mengenai pemandu bas ekspres yang tidak memperoleh bantuan ‘one off’ RM500 sebagaimana diperoleh pemandu lain yang terjejas akibat pandemik COVID-19,” katanya.

Selain itu, beliau memohon kerajaan mempertimbangkan kebenaran untuk stesen minyak beroperasi 24 jam di laluan tidak bertol, terutama dari Bentong ke Kota Bharu yang membabitkan jarak perjalanan sejauh 400 kilometer.

Katanya, ia penting bagi mengelakkan bas ekspres dan kenderaan membawa bekalan penting seperti makanan ataupun ubat-ubatan, berdepan kesulitan ketika melalui laluan berkenaan. – BH Online