E-Hailing Diharam Cari Penumpang – JPJ

AMARAN!… Pemandu kenderaan e-hailing atau Grab dilarang menunggu atau cari penumpang ketika jalankan perkhidmatan di mana-mana tempat termasuklah di sekitar lapangan terbang

Demikian tegas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu kenyatan hari ini berkata, perkara itu termaktub di bawah syarat-syarat lesen pengendalian e-hailing yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Katanya, pemandu e-hailing dikehendaki mematuhi salah satu daripada syarat perkhidmatan iaitu hendaklah ambil penumpang dilanggan melalui perkhidmatan atas talian mudah alih atau aplikasi disediakan syarikat pengendali.

“Mana-mana pemandu perkhidmatan e-hailing yang gagal mematuhi mana-mana syarat ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah peruntukan tersebut,” katanya.

JPJ berkata demikian bagi mengulas hantaran di Facebook berhubung dakwaan pemandu Grab disaman JPJ di bawah kesalahan menggunakan Lesen Kenderaan Moto (LKM) kerana ambil pelanggan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada Selasa lalu. – Bernama

Loading...