Dunia Tak Akan Bebas COVID-19 Tahun Ini – WHO

GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa tidak realistik untuk berfikir dunia akan bebas pandemik COVID-19 akhir tahun ini.

Pengarah Darurat WHO, Michael Ryan, bagaimanapun menyatakan berkemungkinan kadar kemasukan ke hospital dan kematian dapat dikurangkan.

“Tetapi virus itu tetap ada, terutama ketika jumlah kes baharu global meningkat minggu lalu selepas menunjukkan penurunan selama enam minggu berturut-turut.

“Masih terlalu awal dan saya rasa tidak realistik untuk berfikir bahawa kita akan membendung virus ini pada akhir tahun ini. Tetapi, saya rasa apa yang dapat kita lakukan jika kita pintar, adalah kurangkan kemasukan ke hospital, kematian dan tragedi yang berkaitan dengan wabak ini,” katanya kepada wartawan.

Ryan berkata, program imunisasi pekerja penjagaan kesihatan barisan hadapan dan mereka yang paling terdedah terhadap penyakit kronik boleh menepis kebimbangan terhadap wabak itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkembangan terbaru tidak boleh dianggap mudah kerana virus berkenaan semakin kuat.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, jumlah kes baharu meningkat minggu lalu di Eropah, Amerika, Asia Tenggara dan Mediterranean Timur.

“Ini mengecewakan, tetapi tidak mengejutkan. Sebahagiannya disebabkan oleh pelonggaran langkah kesihatan awam, peredaran varian yang berlanjutan dan individu yang mengabaikan aspek penjagaan dan langkah kesihatan.

“Vaksin akan membantu menyelamatkan nyawa, tetapi jika negara hanya bergantung kepada vaksin, ia adalah salah… langkah asas kesihatan awam tetap menjadi asas untuk melawan virus itu,” katanya.

Ketua Teknikal COVID-19 WHO, Maria Van Kerkhove menyambut baik suntikan pertama vaksin yang diberikan melalui kemudahan perkongsian vaksin Covax global, yang diberikan di Ghana dan Ivory Coast.

“Sangat menggembirakan untuk melihat pekerja kesihatan di negara berpendapatan rendah mula menerima suntikan, tetapi sangat menyedihkan kerana ia berlaku hampir tiga bulan selepas beberapa negara kaya memulakan suntikan.

“Paling dikesalkan, beberapa negara terus mengutamakan suntikan kepada orang dewasa lebih muda dan sihat dengan risiko penyakit lebih rendah dalam kalangan populasi mereka, berbanding pekerja kesihatan dan orang tua di tempat lain,” katanya tanpa menamakan negara terbabit.

Sebanyak 11 juta dos vaksin akan dihantar ke negara peserta minggu ini melalui program Covax dengan 237 juta dos akan diperuntukkan kepada 142 negara sehingga akhir Mei ini. – Agensi