Duit KWSP, Duit Rakyat – Najib

SHAH ALAM – Ramai rakyat meluahkan rasa kecewa dengan pengumuman yang telah dibuat oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semalam mengenai dua kriteria kelayakan untuk memohon i-Sinar.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu hantaran di Facebook hari ini berkata, tindakan yang dibuat oleh pihak KWSP amatlah tidak wajar kerana duit KWSP itu sebenarnya hak milik rakyat.

Menurutnya, pihak KWSP sepatutnya membenarkan semua pencarum mengeluarkan RM10,000 secara pukal tanpa meletakkan syarat sedemikian.

“Kalau mereka nak keluarkan RM10,000 terpulang lah kepada mereka. Kalau mereka tak perlu, mereka tak kan berbuat demikian.

“Jadi, kita mesti percaya kepada pencarum bahawa ini adalah dana mereka sendiri. Hidup mereka juga amat tertekan dan ada yang perlukan duit ini untuk kecemasan kini,” katanya.

Tambahnya, jika kerajaan benar-benar prihatin dan peka dengan tuntutan rakyat, maka pihak mereka perlu mengubah dan melakukan penambahbaikan terhadap pengumuman yang dibuat oleh pihak KWSP semalam.

“Saya akan terus memperjuangkan hasrat rakyat dan pada saya kalau kerajaan masih mengekalkan syarat-syarat yang ketat ini, maka saya yakin perkara ini akan mengundang kemarahan rakyat secara berterusan,” kata beliau lagi dalam hantaran tersebut.

Semalam, KWSP dalam satu kenyataan berkata, kriteria bagi kategori satu meliputi ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama dua bulan berturut-turut ketika permohonan atau ahli yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas 1 Mac 2020.

Kriteria bagi kategori dua pula meliputi ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas, termasuk pengurangan gaji dan elaun atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa selepas Mac 2020, yang mana pengurangan tersebut hanya boleh dikenal pasti melalui dokumen yang diberikan. – Sinar Harian