Duda Anak 3 Mengaku Salah Hina Agama Hindu

KUALA LUMPUR – Seorang duda anak tiga mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi atas dua pertuduhan memuat naik status jelik menghina agama Hindu dua minggu lalu.

Tertuduh Zamri Abdul Razak, 52, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zamri Bakar.

Bagaimanapun mahkamah menetapkan Isnin ini untuk fakta dan jatuh hukum.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Zamri, yang juga bekas jurugambar syarikat produksi didakwa menggunakan laman profil Facebook “Zamri Abdul Razak” secara sedar membuat dua komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Status itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ, di sini, pukul 12.45 tengahari pada 10 Mac lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Md. Kamal tidak menawarkan ikat jamin dengan alasan kesalahan yang dilakukan tertuduh serius kerana menghina agama orang lain.

“Saya memohon jatuh hukum pada Isnin untuk pihak pendakwaan menyediakan fakta hukuman,” katanya.

Bagaimamanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah memberikan ikat jamin kerana mempunyai tanggungan keluarga. – K! ONLINE

Loading...