Dua Beradik Bunuh Suami Isteri Direman Selama 7 Hari

SHAH ALAM – Dua beradik yang disyaki terlibat dalam pembunuhan pasangan suami isteri yang mayat kedua-duanya disumbat dalam beg pakaian sebelum dicampak dalam longkang di dua lokasi berbeza sekitar Seksyen 27, di sini direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majlistret Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli.

Terdahulu kedua-duanya berusia 19 dan 25 yang juga warga negara India dibawa ke Mahkamah Shah Alam kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.

Isnin lalu Polis menahan dua lelaki warga asing selepas disyaki terlibat dalam pembunuhan seorang pengurus restoran yang mayatnya disumbat di dalam beg pakaian sebelum dibuang ke dalam parit di Persiaran Kuala Selangor, Seksyen 27 di sini. 

Kedua-dua suspek itu ditahan petang semalam di sekitar Kota Kemuning dan Subang Jaya.

Difahamkan, kedua-dua yang ditahan merupakan penyewa rumah kepada pengurus restoran tersebut yang dikenali Tan Siew Mee, 52,.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, soal-siasat terhadap kedua-dua suspek membawa kepada penemuan satu lagi mayat di dalam longkang berhampiran di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Alam Megah, di sini.

Difahamkan mayat tersebut merupakan suami pengurus restoran tersebut dikenali Lim Ah Kee @ Lim Kok Hoe, 79, yang turut ditemukan dalam beg pakaian.