DSV Diarah Bayar RM87,500 Kepada Aishah

KUALA LUMPUR – Usahawan kosmetik Datuk Seri Hasmiza Othman diarah membayar harga barang kemas yang dipilih penyanyi Aishah berjumlah RM80,000 dan melakukan permohonan maaf secara terbuka terhadap penyanyi itu sebelum atau pada 17 Julai ini.

Keputusan tersebut telah dipersetujui kedua-dua belah pihak dalam sesi mediasi yang telah berlangsung di Mahkamah Sesyen Sivil 11 Kuala Lumpur pada 1 Julai lalu.

Sekiranya Hasmiza atau dikenali sebagai Datuk Seri Vida (DSV) gagal memenuhi tuntutan yang telah dipersetujui, peguam mewakili Aishah, Mohammad Izwan Azmi dan Mazniza Mohd. Kamil akan mengambil tindakan undang-undang mengikut pelaksanaan mahkamah.

Selain permohonan maaf secara terbuka dan menggantikan emas dengan nilai RM80,000, DSV turut diarah membayar kos guaman terhadap peguam Aishah dengan jumlah sebanyak RM7,500 pada atau sebelum 7 Julai ini.

Peguam Mohammad Izwan berkata dalam sesi mediasi tersebut, DSV telah dibenarkan untuk memilih lokasi kedai barang kemas, manakala Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin diberikan hak memilih barang kemas dengan nilai yang dipersetujui.

“Pada 1 Julai lalu anak guam saya telah berkunjung di sebuah pusat beli belah di Bangsar untuk memilih sendiri barang kemas di kedai yang telah dicadangkan oleh DSV.

“Kini pihak kami menantikan tindakan seterusnya daripada DSV iaitu permohonan maaf secara terbuka sebelum atau pada 17 Julai ini. Sekiranya gagal, memenuhi tuntutan yang telah dipersetujui dalam sesi mediasi, kami akan mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar kes tuntutan sivil di Ramzeila Delights, Petaling Jaya, Selangor, sebentar tadi.

Menurut Mohammad Izwan, keputusan sesi mediasi tersebut telah direkodkan di hadapan Hakim Datuk Wan Zaidi Che Wan Ibrahim pada 1 Julai lalu.

Sementara itu, Aishah berkata, proses mediasi telah berlangsung dengan penuh profesional antara peguam dan DSV.

“Tidak ada insiden tarik tudung. Semuanya telah selesai dengan baik dan dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak,” ujarnya.

Terdahulu, Aishah pernah mendedahkan berlian yang dimenangi beliau dalam pertandingan Gegar Vaganza musim keempat (GV4) adalah palsu.

Pada 1 Julai lalu, sebuah sesi mediasi telah diadakan dan Aishah menganggap ia merupakan kemenangannya setelah dua tahun berjuang.

Dalam pada itu, Aishah juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Bina Mega Empire untuk menuntut sebidang tanah yang merupakan sebahagian daripada hadiah utama pertandingan tersebut. – K! ONLINE

Loading...