Dron ‘Menyalak’ Ganti Anjing Gembala

WELLINGTON – Sebuah syarikat teknologi moden, DJI telah mencipta sebuah dron yang memainkan rakaman bunyi salakan anjing bagi menggantikan anjing gembala, lapor akhbar Daily Mail.

Pesawat kawalan jauh dinamakan DJI Mavic Enterprise itu dijual pada harga NZ$3,500 (RM9,730) seunit dan boleh memainkan semula rakaman bunyi salakan anjing untuk tujuan mengawal haiwan ternakan.

Seorang penternak biri-biri, Corey Lambeth yang mempunyai ladang berdekatan Rotherham berpendapat penggunaan dron memudahkan dia memeriksa keseluruhan kawasan ladang dari udara khususnya bekalan air dan keadaan ternakannya.

“Kami boleh terbangkan dron ke mana-mana kawasan ladang untuk memeriksa ternakan. Kameranya juga boleh memfokus ke satu sudut dari jarak jauh dan kami cuma perlu melihat dari monitor tanpa mengganggu biri-biri tersebut,” katanya.

Pakar peruncit dron New Zealand DJI Ferntech, Adam Kerr memberitahu stesen radio RadioNZ bahawa semakin ramai petani beralih kepada penggunaan dron untuk melakukan kerja-kerja yang kebiasaannya dianggap kotor, berbahaya dan membosankan.

Bagaimanapun, anjing gembala masih mempunyai tempat dalam industri ternakan memandangkan dron tersebut masih tidak dapat mengatasi faktor cuaca buruk yang menjejaskan fungsi elektroniknya. 
– Agensi