Drama Azmin Bela Anwar, Marah Mahathir Kacau PKR

ADA yang tersenyum sinis apabila mendengar khabar seolah-olah Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali ‘tunjuk garang’ pada Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Malahan Menteri Besar Selangor itu dilaporkan ‘marah’ terhadap Pengerusi PPBM itu apabila secara terbuka tampil mempertahankan bos besarnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu kerjasama politik antara PKR dengan PAS.

Terasa macam dramalah sangat apabila Azmin yang juga Timbalan Presiden Pakatan Harapan itu mempertikaikan Mahathir kerana tidak setuju ‘restu’ Anwar kepada kepimpinan PKR mengadakan rundingan kerjasama tersebut.

Bayangkalah dalam temuramah Insight Talk di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya semalam anjuran portal propembangkang, The Malaysian Insight, Mahathir mempersoalkan langkah pelik Anwar itu ‘berbaik’ dengan PAS.

Beliau tanpa rahsia bertegas mahu usaha tahaluf siyasi PKR-PAS itu dihentikan segera selari dengan keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Harapan baru-baru ini yang ‘mengharamkan’ sebarang kerjasama bersama pihak PAS.

“Kita akan hentikan itu. Saya harap kami dapat melakukannya,” kata Mahathir kepada Ketua Editor The Malaysian Insight, Jahabar Sadiq yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi portal berita tersebut.

Baca: Mahathir Akui Anwar Hanya Jadi PM Ke-7, Bukan PM Ke-8

Lebih buruk lagi keadaan yang sudah makin parah, Mahathir secara sinis mendakwa Anwar hanya menjadi perdana menteri kelapan dan bukan ketujuh sebagai mana dihasratkan PKR ketika kongres tahunannya pada 21 Mei lalu.

Berang dengan sindiran Mahathir, Azmin pada sidang akhbar selepas satu majlis di Shah Alam pada Khamis dengan tegas berkata: “Saya hendak mengingatkan Mahathir sekali lagi, Anwar ialah Ketua Umum untuk Pakatan Harapan.

“Beliau bukan sekadar jadi Ketua Umum PKR.” Azmin bahkan mendakwa bahawa sebagai Ketua Umum untuk blok pembangkang itu, Anwar boleh memberi pandangan bebas dan cadangan tanpa terikat kepada mana-mana pihak.

Menurut portal tempatan, AgendaDaily, kemelut isu rundingan kerjasama dengan PAS bukan sahaja jadi hangat dalam kalangan parti yang menyertai gabungan Pakatan Harapan malah dalam PKR sendiri pun bergolak sama.

Ini apabila Azmin kebelakangan ini berkeras tetap meneruskan usaha itu bagi memastikan pembangkang tidak bertembung sesama sendiri dalam pilihan raya umum ke-14 kelak, sekali pun pihak PAS pula ‘tidak layan’ PKR!

Ekoran kontroversi yang timbul, tiba-tiba muncul ‘warkah’ Anwar dari penjara Sungai Buloh dengan kenyataan memaklumkan konon beliau memberi restu kepada Azmin menerajui usaha itu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...