Dr. Wan Azizah, TPM Wanita Pertama Catat Sejarah

KUALA LUMPUR – Pelantikan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri wanita pertama Malaysia terus mendapat sokongan dan pengiktirafan.

Menzahirkan ucapan tahniah kepada Presiden PKR yang kini memegang jawatan nombor dua barisan kabinet kerajaan Pakatan Harapan itu, Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata beliau bangga dengan pencapaian berkenaan.

“Walaupun kita berbeza pendapat politik tetapi sebagai seorang ibu dan pemimpin wanita, saya rasa amat bangga dengan pencapaian yang bersejarah ini hasil daripada ikhtiar kita dan ketentuan Allah SWT.

“Kami yakin Datin Seri (Dr. Wan Azizah) akan menjalankan tugas dengan baik dan kembali menyatupadukan rakyat Malaysia. Selamat maju jaya dan dirahmati Allah SWT,” katanya dalam kenyataan.

Pelantikan Dr. Wan Azizah diumumkan sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang juga Perdana Menteri, sebaik parti itu diisytihar menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada Khamis. – BERNAMA

Loading...