Doktor Perubatan Mangsa Kesembilan COVID-19 Meninggal Dunia

PUTRAJAYA – Seorang doktor perubatan menjadi mangsa jangkitan COVID-19 pertama dalam kalangan kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) selepas disahkan meninggal dunia jam 10.33 pagi tadi.

Ia adalah kematian kesembilan akibat COVID-19 di negara ini, setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, berkata doktor berusia 48 tahun itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Fauziah, Perlis.

Beliau mengesahkan perkara itu menerusi kenyataan dalam akaun Facebook rasminya, sebentar tadi.

Katanya, mangsa mempunyai sejarah perjalanan ke Turki dan dimasukkan ke hospital berkenan pada 17 Mac lalu.

“Dukacita dimaklumkan, terdapat pertambahan satu lagi kes kematian baharu berkaitan COVID-19 dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan.

“Pelaporan terbaru ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kepada sembilan setakat ini.

“Kes kematian kesembilan adalah kes kematian pertama dalam kalangan kakitangan kesihatan yang membabitkan seorang lelaki warganegara Malaysia (kes ke-890) berusia 48 tahun yang juga seorang doktor perubatan KKM.

“Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke Turki. Beliau dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar pada 17 Mac 2020 selepas mengalami simptom Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI),” katanya.

Dr. Noor Hisham berkata, mangsa disahkan positif COVID-19 pada 18 Mac lalu dan diberikan bantuan alatan pernafasan sejak 19 Mac berikutan keadaan kesihatan yang merosot.

Beliau berkata, kes itu bukan dalam kalangan barisan hadapan atau kalangan rakan kerja yang berhadapan dengan pesakit COVID-19, tetapi berkait dengan sejarah perjalanan ke luar negara. – BH Online

Loading...