Doktor ‘Derma’ Sperma Sendiri Untuk Hamilkan Pesakit

SEORANG pakar kesuburan dari Ottawa, Kanada dituduh menggunakan air maninya sendiri untuk menghamilkan sekurang-kurangnya dua orang pesakit.

Dr. Norman Barwin dikatakan melakukan inseminasi tanpa pengetahuan mahupun kebenaran wanita-wanita tersebut, menurut sebuah kenyataan aduan yang difailkan di mahkamah Ontario pada Selasa lalu.

Saman sivil itu dibuat oleh pasangan Daniel dan Davina Dixon selepas menemui bahawa anak perempuan mereka, Rebecca,26, bukan anak kandung Daniel.

Pasangan itu yang mahu tindakan undang-undang yang bakal dilakukan akan membawa kepada hukuman setimpal terhadap doktor tersebut.

Mereka telah menghubungi Barwin pada tahun 1989 untuk membantu mereka mendapatkan zuriat.

Doktor 'Derma' Sperma Sendiri Untuk Hamilkan Pesakit
Rebecca Dixon (pertama dari kiri), mulai perasan dia tiada persamaan fizikal dengan ibu bapanya,Daniel dan Davina, sejak kecil lagi.

Hasil pensenyawaan itu, Rebecca telah dilahirkan tahun yang berikutnya.

“Semasa saya kecil, saya sering bertanya adakah saya sebenarnya anak angkat. Dan kami sekeluarga cuma ketawa apabila soalan itu ditanya.

“Secara fizikalnya, rupa saya tidak seiras dengan ibu bapa saya, namun ada sedikit persamaan dengan nenek sebelah ibu saya…Saya tidak pernah terlalu memikirkan tentang perkara ini kerana ia tidak dianggap masalah bagi saya,” kata Rebecca kepada CBC News.

Keluarga itu mengambil keputusan untuk mengadakan ujian pada Februari tahun ini selepas mengetahui bahawa adalah mustahil untuk pasangan yang bermata biru untuk melahirkan anak yang mempunyai mata coklat.

Ujian darah dan DNA mengesahkan bahawa Daniel bukanlah ayah kandung kepada Rebecca.

“Saya berasa seakan-akan direnjat arus elektrik akibat terlalu terkejut,” kata Rebecca lagi.

Hasil siasatan latar belakang Barwin mengesahkan tuduhan tersebut kerana mereka mendapat tahu bahawa doktor itu telah dituduh mensenyawakan tiga orang pesakit dengan sperma yang salah, sehingga mengakibatkan dia terpaksa letak jawatan daripada Darjah Kebesaran Kanada setahun selepas itu.

Mereka juga mulai menyedari bahawa Rebecca mempunyai persamaan fizikal yang sama dengan dengan Barwin.

Pertuduhan terhadap Barwin masih dibicarakan di mahkamah dan masih belum dibuktikan kebenarannya setakat ini.-MYNEWSHUB.CC