Doktor, Ahli Farmasi Perlu Awasi Preskripsi Antibiotik

SUBANG JAYA – Doktor dan ahli farmasi perlu lebih berhati-hati memberikan preskripsi ubat antibiotik kepada pesakit dan mengurangkan penggunaannya secara tidak wajar bagi membendung peningkatan kerintangan antibiotik, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata kerintangan antibiotik atau Antimicrobial Resistance (AMR) menunjukkan peningkatan yang serius di peringkat global dan golongan profesional itu perlu lebih berhati-hati dalam memberikan preskripsi antibiotik bagi membendung gejala itu.

“Pemberian preskripsi antibiotik secara berlebihan oleh doktor dan ahli farmasi kepada pesakit serta penggunaannya secara tidak wajar adalah antara punca meningkatnya kes AMR dari tahun ke tahun.

“Ini kerana bukan semua penyakit perlu diubati dengan antibiotik, di mana 95 peratus kes pesakit dijangkiti penyakit tidak berbahaya berpunca daripada virus dan ia boleh diubati dengan vaksin biasa, jadi golongan itu berperanan mengawal penggunaannya mengikut kesesuaian kes,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Sambutan Minggu Kesedaran Antibiotik Sedunia Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.

Majlis berbentuk seminar selama sehari itu diadakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Persatuan Hospital-Hospital Swasta Malaysia (APHM) bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya pengawalan AMR serta langkah menanganinya.

Dr Lee berkata , WHO dengan kerjasama kerajaan Malaysia baru-baru ini turut melancarkan Pelan Tindakan Strategik Nasional selama lima tahun untuk mengawal situasi daripada menjadi lebih buruk.

“KKM baru sahaja melancarkan Pelan Tindakan itu bermula Februari tahun ini hingga 2022. Antara langkah kita ambil ialah pelaksanaan program pengawasan AMR dengan menggalakkan penglibatan pelbagai sektor terutamanya hospital kerajaan dan swasta untuk berkongsi idea dalam mengatasi AMR, katanya.

AMR atau lebih dikenali sebagai ‘superbugs’ adalah ancaman berbahaya kerana mikrob yang sepatutnya boleh dibunuh melalui antibiotik menjadi kebal dan ini boleh meningkatkan risiko penyebaran penyakit seperti tuberculosis (batuk kering) dan kematian jika tidak ditangani segera.

Dr Lee turut menasihatkan masyarakat supaya bijak menggunakan ubat antibiotik dan tidak mendesak doktor untuk memberikannya tanpa mengikut keperluan selain turut mengamalkan kebersihan diri, makanan dan persekitaran secara proaktif. – BERNAMA

Loading...