Doa Bapa Depan Kaabah Iringi Kejayaan Dik Wan

KUALA LUMPUR – Berkat doa bapa yang kini sedang menunaikan ibadah umrah mengiringi kejayaan berganda yang dicapai atlet olahraga para negara Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi di temasya Sukan Para Asia 2018 di Jakarta, Indonesia.

Bapanya, Mohamad Puzi Mat Isa ketika dihubungi Bernama menerusi aplikasi WhatsApp berkata beliau tidak henti-henti berdoa agar anak kesayangannya itu diberikan kekuatan luar biasa untuk melakukan larian sekali gus mencipta keputusan terbaik untuk diri sendiri dan negara.

Mohamad Puzi, 58, memaklumkan, beliau dan isteri, Lailah Salleh, 50, yang kini sedang mengerjakan ibadah umrah turut menzahirkan rasa syukur atas kejayaan anak mereka meraih pingat emas di samping mencipta satu lagi rekod dunia dalam acara 100m T36.

“Saya berdoa di depan Kaabah supaya Allah memberi kekuatan dia berlari seterusnya memperoleh keputusan terbaik untuk dia dan negara dalam kejohanan itu.

“Saya dapat berita mengenai kemenangannya selepas diberitahu oleh saudara di kampung. Sebelum itu, saya sempat memberi kata-kata galakan dan semangat kepadanya melalui panggilan video sahaja.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah. Dia menang dalam sukan kegemarannya itu. Dapat pula buat rekod dunia. Saya terharu di atas kejayaannya,” katanya.

Pada masa sama, Mohamad Puzi turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang membantu daripada setiap sudut serta memberi dorongan dan semangat kepada anak keduanya yang dikenali dengan panggilan ‘Dik Wan’.

“Terima kasih kepada semua terutama jurulatih yang tidak jemu-jemu melatih dia. Dia seorang yang mudah dibentuk dan mendengar cakap.

“Cuma, kita perlu menjaga emosi dia. Kalau ada apa-apa masalah, biasanya kita akan berbincang bersama-sama untuk menyelesaikannya,” katanya yang akan pulang ke tanah air pada 14 Okt ini.

Mohamad Ridzuan mempamerkan aksi cemerlang apabila mencipta rekod baharu dunia dalam acara olahraga Sukan Para Asia 2018 di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta, pada Selasa.

Beliau mencatat masa 11.87 saat dalam acara 100m T36 lelaki (cerebral palsy), sekali gus memadam rekod terdahulu 11.90 saat yang dicipta atlet Rusia, Evgenii Shvetcov pada Kejohanan Paralimpik Dunia IPC di Lyon, Perancis pada 2013.

Pelari pecut para negara itu menyumbang satu lagi pingat emas buat kontinjen Malaysia dalam acara 400m lelaki T36 dengan catatan masa 59.36 saat.

Mohamad Ridzuan mencipta fenomena baharu sejarah sukan negara apabila muncul sebagai atlet negara pertama yang berjaya meraih pingat emas di temasya Sukan Paralimpik 2016.

Dalam acara 100m T36 (celebral palsy) yang berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil Mohamad Ridzuan mencatat masa 12.07 saat mendahului Yang Yifei dari China (12.20s) dan Rodrigo Parreira da Silva dari negara tuan rumah (12.54s).

Anak jati Perlis itu turut menempa kejayaan di beberapa kejohanan seperti Kejohanan Olahraga Dunia dan Sukan Para ASEAN dan beliau juga pernah dinobatkan sebagai Olahragawan Paralimpik Kebangsaan 2016. – BERNAMA

Loading...