“Doa Baik-Baik Buat Kami” – Sufian Suhaimi

PELANTUN lagu Terasa Ada, Sufian Suhaimi tidak menolak kemungkinan bahawa ada campur tangan orang ketiga dalam isu berkaitan hubungan bersama tunangnya, Elfira Loy.

Sufian bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai hal itu sebaliknya menegaskan bahawa soal perkahwinan bukan satu perkara yang boleh dipandang enteng.

“Sangat rumit untuk saya perkatakan mengenai perkara ini kerana ia bukan hanya berkaitan saya dan Elfira, tetapi turut melibatkan kedua-dua belah keluarga.

“Mungkin (ada campur tangan orang ketiga). Perkahwinan sesuatu yang besar. Tak boleh buat main-main. Sebab itu kami hormati pandangan semua orang dalam keluarga,” katanya dipetik BH Online.

Tambah Sufian, dia juga menyifatkan kesibukan urusan kerja antara penyebab hubungan mereka agak terbatas. Pun begitu, dia tetap berharap ikatan pertunangan yang terjalin itu berakhir dengan baik buat kedua-dua belah pihak.

“Seperti pasangan lain, pasti ada dugaan dalam pertunangan. Begitu jugalah dengan kami. Doakan yang baik-baik untuk kami, mudah-mudahan ada pengakhiran yang baik.

“Apabila isu ini timbul, saya tidaklah berasa tertekan sebab saya mendapat sokongan penuh daripada keluarga. Apa saja yang saya buat, mereka tidak menghalang,” katanya.

Katanya lagi, dia yakin di sebalik apa yang berlaku pasti ada hikmah dan perkara itu mengajar diri untuk lebih matang.

“Kami berharap ia dapat berakhir dengan baik kerana hanya kami yang tahu apa sebenarnya berlaku. Jadi, janganlah buat kesimpulan tanpa tahu apa yang kami lalui,” ujar penyanyi berusia 26 tahun itu.

Status pertunangan Sufian dan Elfira mula menjadi buah mulut netizen apabila pasangan ini dilihat jarang memuat naik gambar bersama di media sosial seperti mana ketika mereka hangat bercinta dulu.

Keadaan itu secara langsung mula membuatkan para peminat berteka-teki mengenai perancangan perkahwinan mereka yang dijangka bakal berlangsung pada Mac depan. – MYNEWSHUB.CC/AM

Loading...