DJ Terkenal Indonesia Ditahan Buat Persembahan Tanpa Pas

KUALA LUMPUR – DJ kelab malam terkenal Indonesia, DJ Rere Monique ditahan kerana membuat persembahan di negara ini tanpa pas ikhtisas yang diperlukan oleh penghibur luar negara dalam operasi di sebuah kelab malam di ibu negara, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, serbuan itu dibuat kerana pihak penganjur masih berdegil meneruskan persembahan walaupun arahan telah dikeluarkan oleh pihak imigresen pada pukul 10 malam berikutan kegagalan penganjur mengemukakan permohonan pas berkenaan.

Menurutnya, maklumat telah disalurkan oleh Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) dan premis tersebut juga didapati tidak memiliki lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan.

“Ketika serbuan dilakukan, suasana meriah di kelab malam tersebut bertukar kecoh sebaik sahaja para pengunjung menyedari kehadiran pihak berkuasa malah ada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba menyembunyikan diri bagi mengelak dikesan anggota operasi.

“Selain DJ Rere, sebanyak 135 warga tempatan dan 108 warga asing yang mengunjungi kelab malam tersebut diperiksa. Hasilnya, sebanyak 58 PATI terdiri daripada 36 lelaki dan 19 wanita warga Indonesia serta tiga lelaki Bangladesh ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Khairul Dzaimee memaklumkan, DJ Rere dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Putrajaya manakala selebihnya ditahan di Depot Tahanan Bukit Jalil untuk siasatan terperinci.

Tambahnya, pihak penganjur dan pemilik premis juga akan ditahan untuk siasatan lanjut. – UTUSAN ONLINE

Loading...