Dituduh Tipu Guna Nama Ketua Polis Negara

SEREMBAN – Seorang lelaki yang terbabit dalam penipuan menggunakan nama Ketua Polis Negara bagi melepaskan suspek kes pengedaran dadah awal tahun ini, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Y Karthik, 25, mengaku bersalah terhadap pertuduhan dengan sengaja membantu menyembunyikan, memindahkan atau menghapuskan harta curi, iaitu wang RM50,000 di sebuah bank di Mantin, Nilai, pada 10 Mac lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pengadu iaitu isteri suspek pengedar dadah yang ditahan polis, menerima panggilan seorang lelaki mendakwa diri sebagai pegawai polis dan meminta RM50,000 bagi melepaskan suami serta abang iparnya, pada 9 Mac lalu.

Lelaki terbabit mendakwa, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, kononnya akan memberi keizinan supaya kedua-dua suspek terbabit dilepaskan sehari selepas itu.

Pengadu kemudian memasukkan wang tunai RM50,000 ke dalam akaun tertuduh di sebuah bank di Mantin pada 10 Mac lalu, namun lelaki yang mendakwa sebagai pegawai polis terbabit tidak dapat dihubungi selepas transaksi berkenaan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nuralis Mat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh merayu untuk dibenarkan ikat jamin bagi membolehkannya melantik peguam sebelum hukuman dijatuhkan.

Hakim Noor Hayati Mat, membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 13 September depan. – BH Online