Dituduh Buka Tudung, Ardell ‘Tidak Terdesak’

SELEPAS beberapa bulan mengenakan hijab, pelakon kecil molek, Ardell Aryana masih lagi dilanda fitnah kononnya sanggup buka tudung demi menghidupkan watak kerana kurang dapat tawaran lakonan.

Baca: Ardell Kesal Masih Diganggu Kaum Sejenis Lepas Hijrah

Juga: Kerana Bertudung, Tawaran Ardell Banyak Dibatalkan?

“Apabila drama yang sudah lama selesai menjalani penggambaran disiarkan, ada pihak fikir saya sudah tanggalkan tudung kerana terdesak,” katanya dipetik daripada BH Online.

Bagi Ardell atau nama sebenarnya Nurul Hidayah Mohd Amin, 28, dia berpendapat bahawa masih banyak lagi pihak yang keliru selepas menonton drama lakonannya ketika belum bertudung.

“Sedangkan mereka tidak tahu proses suntingan mengambil masa… Drama yang siap menjalani penggambaran tidak terus disiarkan.

“Jadi timbullah spekulasi kononnya saya sanggup membuka tudung demi kelangsungan karier,” ujarnya lagi.

Gadis kelahiran Kuala Selangor itu sebelum ini juga pernah meluahkaan rasa kecil hati dan kesedihan selepas beberapa tawaran lakonan diterimanya telah ditarik balik syarikat pengurusan hanya kerana dia sudah berhijrah.

“Namun, ia sekadar luahan. Tidaklah sampai saya sanggup tanggalkan tudung. Malah, ada tawaran yang saya tolak kerana melanggar batas saya sebagai wanita berhijab,” tambahnya.

Sebelum berhijab, pelakon drama Cinta Hati Batu itu masih belum memakai pendakap gigi dan kini dia sudah menggunakan alat berkenaan serta dalam masa yang sama ianya dapat membezakan wajahnya yang sebelum ini.

“Biar apa pun kata orang, saya sekarang bersyukur diberi rezeki dalam bidang lain pula,” katanya lagi yang telah ditawarkan menjadi model jubah di pentas peragaan dekat Dubai, India dan terikat dengan projek berkenaan sehingga bulan depan.

Tambahnya lagi, jubah berkenaan telah direka khas buat wanita yang bertubuh kecil sepertinya.

“Lazimnya, kita lihat abaya digayakan wanita tinggi lampai. Jadi wanita kecil-molek seperti saya dapatlah mencari jubah sesuai,” katanya.

Menurut pencarian daripada internet, kemungkinan besar netizen memaksudkan penampilannya menerusi drama Cinta Hati Batu dan filem Surf This Love.

Hal ini kerana ketika penggambaran filem dan drama berkenaan, Ardell masih lagi belum berhijab. – MYNEWSHUB.CC/AH