Diplomat Hidap Penyakit Misteri Saman Ottawa

DIPLOMAT Kanada yang mengalami penyakit misteri semasa bertugas di Cuba pada 2017 menyaman Ottawa kerana mengambil masa terlalu lama untuk bertindak memindahkan dan memberikan rawatan.

Seramai 14 orang diplomat termasuk bekas dan yang masih bertugas serta ahli keluarga masing-masing menuntut pampasan berjumlah $28 juta dolar Kanada daripada kerajaan persekutuan.

Mereka dikatakan masih mengalami “sindrom Havana” seperti migrain, gangguan penglihatan serta pendengaran, meskipun telah berada di Kanada sejak setahun lalu.

Menurut CBC yang menemubual beberapa diplomat mengatakan, kerajaan mengambil masa lebih setahun untuk bertindak.

Sementara itu Menteri Luar Kanada, Chrystia Freeland ketika ditemui pemberita pada Rabu di Washington, berkata keselamatan diplomat kekal menjadi keutamaan.

“Saya tidak komen secara spesifik, tetapi saya ingin ulangi dalam pertemuan dengan beberapa diplomat telah dimaklumkan bahawa kesihatan dan keselamatan mereka tetap diutamakan dan bersimpati dengan apa yang berlaku,” katanya ketika diminta mengulas perkara itu.

Pada 30 Januari, Kanada mengumumkan mengurangkan separuh kakitangannya di kedutaan akibat penyakit misteri itu.

CBC melaporkan setakat ini hanya lapan pegawai masih bertugas di kedutaan di Cuba. – Agensi/BERNAMA

Loading...