Diplomat Asing Turut Dijemput Hadir Istiadat Penghormatan MH17

PUTRAJAYA – Diplomat asing yang berada di negara ini turut dijemput untuk menghadiri istiadat penghormatan penerimaan jenazah tragedi penerbangan MH17 Malaysia Airlines yang akan diadakan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang Jumaat ini.

Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin berkata ia termasuk diplomat dari negara yang rakyat mereka turut menjadi mangsa pesawat yang terhempas di Ukraine 17 Julai lepas itu, seperti Belanda dan Australia.

“Mereka ada datang dan mengucapkan takziah kepada kita. Kita nak juga melihat bukan hanya ucap takziah tetapi juga bersama dalam menyambut ketibaan jenazah,” katanya kepada pemberita selepas acara menaikkan bendera Asean sempena sambutan Hari Asean ke-47 di Wisma Putra di sini hari ini.

Kumpulan pertama jenazah mangsa MH17 dijangka tiba pukul 10 pagi Jumaat, menaiki sebuah pesawat khas dari Amsterdam.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dijangka berangkat ke istiadat berkenaan yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, jemaah menteri, menteri besar dan ketua menteri serta keluarga mangsa.

Jumaat ini juga diisytiharkan sebagai hari berkabung negara berikutan ketibaan kumpulan pertama jenazah itu.

Hamzah berkata kedutaan-kedutaan Malaysia di luar negara turut menerima ucapan takziah daripada wakil negara-negara lain. – BERNAMA

Loading...