Dikurung, Disepak Dan Minum Air Kencing…

SEREMBAN – Disepak, diikat, dikurung dan dipaksa minum air kencing. Itu antara derita yang didakwa terpaksa ditanggung oleh 12 penghuni pusat jagaan warga emas di Seremban 3 di sini.

Perkara itu didedahkan oleh empat bekas pekerja pusat jagaan berkenaan selepas tular berkenaan cerita ‘Pusat Jagaan Warga Emas Seremban Neraka’ di laman sosial Facebook sejak semalam.

Mereka mendakwa perbuatan zalim berkenaan dilakukan oleh penyelia wanita pusat berkenaan dan telah dimaklumkan kepada pengusaha, tetapi ia ibarat melepaskan batuk di tangga.

Ain, 24, (bukan nama sebenar) berkata, dia mula bekerja di situ pada tahun 2016 namun membuat keputusan untuk berhenti Julai tahun lalu kerana tidak sanggup lagi melihat penghuni di situ diperlakukan tanpa belas kasihan.

“Saya tengok depan mata ada pakcik yang disepak terajang dan air kencing dicurah dalam mulut. Wang bantuan yang diberi juga turut diambil dan ubat kepada penghuni diberi sesuka hati.

“Saya pernah mengadu kepada pengusaha, tapi dia tidak pernah mahu dengar. Saya pun ada tegur penyelia tidak baik buat warga emas macam itu, tapi dia pula ugut mahu mengadu pada pengusaha supaya berhentikan saya,” katanya pada pemberita pada sidang media di sebuah restoran di sini, hari ini.

Malah dia juga mendakwa pernah dipukul oleh penyelia terbabit kerana tidak mahu mendengar arahannya dan kini alami trauma.

Begitu juga dengan Fikri, 24, (bukan nama sebenar) yang mendakwa melihat warga emas dilayani dengan teruk di situ sejak tahun pertama bekerja pada November 2018.

“Saya baru bekerja dan tidak berani melawan. Saya pernah tanya emak dan orang lain wajar ke warga emas dilayan sebegitu, tapi semuanya kata ia tidak sepatutnya.

“Saya pun pernah mengadu pada pengusaha, tapi tiada tindakan. Lagipun saya tiada bukti kerana di premis ini tiada kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.

Kata Fikri, penghuni dipukul di situ sudah menjadi perkara biasa dan antara yang paling tidak dapat dilupakannya ialah apabila ada yang dipukul dengan penyapu dan ditampar dengan selipar.

Dia turut mendedahkan sebelum ini ada pegawai JKM yang datang melawat selepas menerima aduan, namun ia berlalu tanpa ada tindakan.

“Kebanyakan penghuni ada masalah kesihatan, enam daripadanya terlantar dan nyanyuk pun ada. Itu kadang-kala menguji kesabaran untuk uruskan mereka, tapi tidak sepatutnya mereka dipukul,” katanya.

Faizal, 26, (bukan nama sebenar) pula berkata, dia pernah melepaskan seorang penghuni lelaki dikurung di dalam bilik kerana terlalu agresif.

Namun penyelia di situ mengarahkan untuk mengurungnya semula dan diikat pada kerusi.

“Saya tengok pakcik itu diikat dengan kerusi dan keadaannya berlumuran darah serta ada kesan bengkak.

“Saya jadi geram, tapi yang kesalnya bila mengadu pada bos, dia tidak percaya. Saya tidak berani buat laporan pada pihak lain kerana takut mengganggu kerja,” katanya.

Paling menyedihkan Faizal kerana ada penghuni yang turut mengadu kepadanya tidak tahan tinggal di situ.

Selain itu Dila, 24, (bukan nama sebenar) berkata, dia bekerja di situ pada Mac tahun lalu dengan ditawarkan gaji RM1,000 sebulan.

Namun tidak lagi tahan kerana terpaksa melihat perlakuan tidak sepatutnya berlaku kepada warga emas di situ.

“Cerita yang tular di Facebook itu semuanya betul kerana saya sendiri pernah tengok. Ada waris penghuni yang percaya dan ada yang tidak.

“Saya harap nasib warga emas yang tinggal di situ terbela kerana saya pun ada emak dan ayah dan tidak mahu perkara sama berlaku kepada mereka,” katanya.

Dia dan rakan-rakan tampil memberi kenyataan kerana mahu pihak berkuasa mengambil tindakan sekaligus menyelamatkan warga emas di pusat jagaan itu. – Sinar Harian