Dibelasah Teruk 3 Jam, Gadis 14 Tahun Berisiko Mandul

SEORANG pelajar perempuan berusia 14 tahun berdepan risiko mandul selepas dibelasah teruk sekumpulan rakan di sekolahnya.

Insiden itu dilaporkan berlaku di bandar Mineralnye Vode yang terletak di selatan barat daya wilayah Stavropol Krai, Rusia.

Media tempatan melaporkan sebelum kejadian, mangsa bernama Liza berjalan bersama seorang pelajar lelaki dikenali sebagai Dima apabila dia diserang lima pelajar perempuan berusia antara 13 dan 14 tahun.

Mangsa dibelasah selama tiga jam dan lebih teruk lagi kejadian itu dirakam salah seorang penyerang.

Lima pelajar perempuan itu menyerang Liza kerana tidak berpuas hati dengan tindakannya menegur kelakuan mereka semasa di sekolah.

Liza menerima rawatan di ICU selepas cedera parah dalam kejadian buli itu.

Dalam rakaman berkenaan, Liza diserang pelajar perempuan dikenali sebagai Veronika Astapova, 14, yang menumbuk kepala, menghempasnya ke atas jalan dan menyepak belakang badan serta kepala mangsa.

Seorang lagi pelajar berusia 13 tahun dikenali sebagai Polina Duchkova dilihat melompat dan memijak bahagian belakang kepala mangsa.

Di akhir rakaman, Liza kelihatan melutut dan dipaksa meminta maaf sebelum dilepaskan kumpulan pembuli tersebut.

Mangsa kini terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas mengalami gegaran otak dan kecederaan parah organ dalaman terutama sistem pernafasan dan peranakan.

Pihak polis telah mengenal pasti kesemua suspek dan siasatan sedang dijalankan. – Dailymail.co.uk/mStar Online

Loading...