Di Mana Rossazlin?

JERANTUT – Sebuah keluarga dari Kampung Paya Garuk, di sini buntu memikirkan kehilangan Rossazlin Roslan, 18, yang tidak pulang ke rumah sejak Sabtu lalu.

Gadis berkenaan dikatakan keluar rumah seorang diri kira-kira pukul 3.30 petang Sabtu lepas dengan memakai jersi pasukan Pahang berwarna kuning dan seluar panjang hitam.

Abangnya, Mohamad Rosli, 27, berkata, sebelum kejadian itu, Rossazlin tinggal bersama adiknya, Rosmadiyana, 16, di rumah mereka sebelum memaklumkan ingin keluar.

“Dia memberitahu Rosmadiyana ingin ke surau berdekatan untuk berjumpa dengan ayah, Roslan Abdul Razak, 54, dan emak, Wan Noraini Wan Nor, 53.

“Ayah dan emak tidak ada di rumah kerana memasak di surau itu untuk kenduri doa selamat dan menyambut ketibaan awal Ramadan,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, kedua ibu bapanya yang pulang selepas solat Asar terkejut mendapati Rossazlin tiada di rumah malah kelibatnya juga tidak kelihatan di surau.

“Rossazlin tidak pernah keluar rumah seorang diri sebelum ini kerana dia mempunyai masalah kesihatan dan hanya bergantung kepada ubat-ubatan yang dibekalkan,” ujarnya.

Tambahnya, laporan polis berhubung perkara berkenaan dibuat Ahad lalu dan berharap adiknya itu pulang dengan selamat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang Rossazlin boleh menghubungi saya di talian 011-26365730,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Loading...