Dewan Rakyat Tak Boleh Bersidang Secara Maya

KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Rakyat tidak boleh diadakan secara maya kerana proklamasi Yang di-Pertuan Agong memperuntukkan ia perlu berlangsung di bangunan Parlimen.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, menjelaskan skema undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan Dewan Rakyat juga menjurus kepada persidangan secara fizikal.

“Sudah berulang kali dikatakan bahawa tidak boleh buat (persidangan) secara maya. Setiap persidangan tahunan akan ada proklamasi daripada Yang di-Pertuan Agong. Bagi persidangan tahun ini, proklamasi dibuat pada Disember tahun lalu.

“Berdasarkan proklamasi itu, persidangan adalah di bangunan Parlimen. Sukar untuk dibuat secara maya kerana banyak peraturan dan undang-undang perlu dipinda.

“Jika kita melihat peraturan mesyuarat, skemanya hanya untuk persidangan fizikal, Speaker menentukan tempat duduk (Ahli Parlimen), jika mencelah perlu meminta kebenaran dan banyak lagi. Itu undang-undang kita,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas gesaan pelbagai pihak, terutama pakar kesihatan, supaya persidangan Dewan Rakyat akan datang diadakan secara maya bagi mengelak risiko penularan COVID-19.

Azhar berkata, walaupun banyak pihak menyatakan persidangan boleh diadakan secara maya seperti yang dilakukan di Australia, sebenarnya ia sukar dilaksanakan.

Beliau berkata, hasil semakan dilakukannya mendapati melalui persidangan secara maya di negara berkenaan, Ahli Parlimen tidak dikira sebagai korum, tidak boleh mencelah, notis 15 minit perlu diberikan terlebih dahulu jika ingin berucap, serta tidak dibenarkan mengundi.

“Berbanding persidangan di negara kita, berdasarkan Perkara 62 (5) Perlembagaan Persekutuan mengenai tatacara Parlimen, ahli yang tidak hadir dalam sesuatu Majlis Parlimen, tidak dibenarkan mengundi.

“Justeru saya katakan, skema undang-undang ketika ini menjurus kepada (persidangan) secara fizikal,” katanya.

Mengulas had media dibenarkan membuat liputan di Parlimen pula, Azhar menjelaskan, beliau tidak berniat menyekat kebebasan bersuara tetapi langkah ketat perlu diambil bagi memastikan Parlimen bebas daripada penularan COVID-19.

“Saya faham dan bukan niat saya untuk mengehadkan jumlah media tetapi semua perlu berkorban ketika ini.

“Bukan saya mahu mengekang (kehadiran media). Jika saya mengekang, tiada media langsung dibenarkan membuat liputan kecuali media rasmi. Saya berusaha melakukan yang terbaik.

“Malah, Ahli Parlimen dan kakitangan Parlimen serta kementerian perlu melalui saringan yang amat ketat. Semua perlu menjalani ujian saringan COVID-19.

“Ahli Parlimen dari Sabah pula perlu menjalani kuarantin terlebih dahulu dan tidak dibenarkan pulang (ke Sabah) sepanjang tempoh persidangan,” katanya.

Dewan Rakyat dijadualkan kembali bersidang mulai 2 November hingga 15 Disember depan. – BH Online

Loading...