Dewan Rakyat ‘Panas’ Isu Projek Terowong Dasar Laut

KUALA LUMPUR – Beberapa penyokong kerajaan terutama daripada DAP dilihat ‘panas’ apabila penulisan penganalisis politik, Raja Petra Kamarudin mengenai projek…

KUALA LUMPUR – Beberapa penyokong kerajaan terutama daripada DAP dilihat ‘panas’ apabila penulisan penganalisis politik, Raja Petra Kamarudin mengenai projek terowong dasar laut Pulau Pinang dibangkitkan dalam sidang Dewan Rakyat sebentar tadi.

Persidangan menjadi tidak terkawal apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membangkitkan kandungan penulisan tersebut yang didakwa mengaitkan Menteri Kewangan yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Ismail Sabri berkata, Menteri Kewangan perlu menjawab tulisan Raja Petra berhubung projek tersebut memandangkan secara berani menuduh menteri itu terlibat dalam penyelewengan projek.

Kata-kata ini menaikkan rasa marah RSN Rayer (DAP-Jelutong) dan beberapa lagi penyokong kerajaan yang menganggap ia satu sangkaan jahat terhadap Guan Eng.

Pertikaman lidah itu berlarutan lebih lima minit apabila penyokong kerajaan mahu rujukan tulisan Raja Petra itu ditarik balik manakala pembangkang menjelaskan perkara itu mahu dijawab oleh Guan Eng.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof akhirnya meminta perkara itu tidak disebutkan lagi dan mahu Ismail Sabri meneruskan ucapan Ketua Pembangkang Menjunjung Kasih Yang di-Pertuan Agong.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini telah membuat laporan polis berhubung pendedahan Raja Petra mengenai kebocoron kertas siasatan membabitkan Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang yang didakwa melibatkan Guan Eng dan beberapa pemimpin kanan DAP. – UTUSAN ONLINE

Loading...