Dewan Rakyat Mula Bersidang Pada 18 Mei

KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Rakyat yang sepatutnya bermula pada Isnin ini, ditunda kepada Isnin, 18 Mei.

 Menurut Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, beliau telah menerima surat pemakluman mengenai perkara itu yang ditandatangani Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Ketua Majlis.

“(Ia) memaklumkan bahawa pihak kerajaan memutuskan bahawa Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 yang sepatutnya bermula pada Isnin, 9 Mac ditunda kepada Isnin, 18 Mei, 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Istiadat pembukaan Parlimen akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 10 pagi, 18 Mei.

Mesyuarat Pertama Dewan Rakyat akan berlangsung selama 15 hari, iaitu hingga 23 Jun.

Kenyataan itu menyebut bahawa Dewan Rakyat tidak bersidang pada 26 hingga 28 Mei kerana Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut pada 24 dan 25 Mei, serta perayaan Hari Gawai pada 1 dan 2 Jun.

Ia juga tidak bersidang pada 8 Jun iaitu Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong.

Mesyuarat Kedua Dewan Rakyat pula dijadual berlangsung 17 hari, mulai  27 Julai hingga 27 Ogos dengan pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 dijadualkan pada Khamis, 6 Ogos.

Ia tidak bersidang pada Khamis, 30 Julai kerana Hari Raya Aidil Adha yang dijangka disambut pada 31 Julai, serta pada 19 dan 20 Ogos sempena Awal Muharam.

Seterusnya, Mesyuarat Ketiga Dewan Rakyat dijadual diadakan selama 36 hari, mulai 28 September hingga 26 November.

Ia  bakal menyaksikan pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) pada Jumaat, 2 Oktober.

 Dewan Rakyat tidak bersidang pada 29 Oktober kerana sambutan Maulidur Rasul. 

Mohamad Ariff berkata ketetapan tarikh-tarikh mesyuarat itu adalah selaras dengan Peraturan 11(2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat. 

Menurutnya, Notis Panggilan Mesyuarat akan dikeluarkan kepada semua Ahli Dewan.

Loading...