Dewan Rakyat Lulus Rang Undang-Undang Perbekalan

KUALA LUMPUR – Usaha blok pembangkang untuk menolak Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) Tahun 2020 gagal selepas undi belah bahagian di Dewan Rakyat hari ini menyaksikan 111 ahli Parlimen bersetuju, 106 menolak dan lima tidak hadir.

Susulan itu, Dewan Rakyat menerima usul berkenaan yang bertujuan mengadakan peruntukan bagi penguntukan semula daripada Kumpulan Wang Disatukan sejumlah wang yang tidak melebihi RM7,184,083,200.

Ini berikutan penyusunan semula beberapa kementerian, penubuhan beberapa kementerian baharu dan pembubaran satu kementerian selaras dengan pembentukan kabinet baharu pada 10 Mac 2020.

Terdahulu, Dewan Rakyat bertukar kecoh apabila ahli Parlimen blok pembangkang tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu.

Situasi itu menyaksikan Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) meminta undi belah bahagian diadakan dan ini dipersetujui oleh lebih 15 ahli Dewan Rakyat yang lain.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang mempengerusikan sidang itu memerintahkan undi belah bahagian diadakan selaras Peraturan Mesyuarat 46 (4) Dewan Rakyat dan loceng dibunyikan selama dua minit.

Sebelum proses undian berlangsung, Azhar menempohkan mesyuarat Dewan Rakyat itu selama 10 minit dan meninggalkan dewan.

Ini mengundang perbalahan ahli Dewan Rakyat di blok pembangkang yang mempersoalkan tindakan Azhar.

Antaranya Sivarasa Rasiah (PH-Sungai Buloh) yang berkata: “Undi ini tidak sah kalau dibuat dalam tempoh Parlimen ditangguh.”

Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) berkata: “Orang (ahli Parlimen) tak cukup ke?”

Pada 11 Ogos,  Azhar ketika membuka sesi pembacaan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2019) menjelaskan tempoh proses undi belah bahagian dipanjangkan dengan tambahan 10 minit.

Ini bagi memberi masa secukupnya kepada ahli Parlimen untuk hadir ke Dewan Rakyat ketika proses undi belah bahagian dijalankan dengan mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 serta jarak antara blok Parlimen dan blok pentadbiran.

Azhar kemudian memaklumkan rang undang-undang yang dibentang untuk bacaan kali kedua pada Khamis itu dipersetujukan.

Seramai 18 ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan rang undang-undang itu, antaranya Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan); Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian); Mohamad Sabu (PH-Kota Raja); Tun Dr Mahathir Mohamad (Bebas-Langkawi); dan Lim Guan Eng (PH-Bagan). – BERNAMA

Loading...