Dewan Rakyat Lulus Laporan Kajian Semula Persempadanan Sabah

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat telah meluluskan Laporan Kajian Semula Persempadanan Bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri Sabah Kali Keenam Tahun 2017 dan Perintah Perlembagaan Persekutuan (Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya) (Negeri Sabah) 2019 dalam sidangnya pada 17 Julai lalu.

Perintah tersebut telah diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan telah diwartakan untuk dikuatkuasa mulai 22 Ogos lalu selaras dengan peruntukan Seksyen 12, Bahagian II, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun, susulan daripada pewartaan Perintah tersebut, pengemaskinian daerah-daerah mengundi telah dilaksanakan oleh pihaknya dan diwartakan pada 24 September lalu.

“Semakan daerah mengundi dan pusat mengundi bagi pengundi-pengundi di negeri Sabah boleh dibuat di tempat pemeriksaan seperti mana yang dinyatakan dalam Notis dan boleh diperiksa mulai 24 September 2019 hingga 10 Oktober 2019,” katanya dalam kenyataan.

Maklumat mengenai tempat pemeriksaan daerah mengundi dan pusat mengundi tersebut juga boleh didapati melalui portal rasmi SPR di http://www.spr.gov.my.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi Ibu Pejabat SPR di talian 03-8892 7000 atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah di talian 088-488 588.

Loading...