Dewan Rakyat Kecoh Isu Perceraian 6 Jam Di Selangor

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini kecoh seketika apabila seorang Ahli Parlimen bangkit mencelah mengenai kes perceraian di Selangor yang dikatakan tertinggi disebabkan proses perceraian ekpres di negeri itu.

Datuk Jalaludin Alias (BN-Jelebu) memberitahu, negeri berkenaan memperkenalkan proses perceraian ekspres menerusi kaunter khas yang hanya mengambil masa selama enam.

“Di Selangor, saya lihat ada satu kaunter khas, enam jam boleh selesai kes perceraian. Saya nak bagi tahu rakan-rakan dewan, nak cerai hanya enam jam.

“Sesiapa yang minta cerai, bagi. Dalam tempoh enam jam boleh bercerai. Jika seorang isteri tak puas hati dengan suami, dia dibenarkan cerai,” katanya.

Jalaluddin berkata demikian untuk meminta penjelasan daripada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh mengenai langkah kerajaan menangani kes perceraian yang meningkat di seluruh negara.

Bagaimanapun, Hannah berkata, Selangor kini mencatat kadar kes perceraian tertinggi di seluruh negara diikuti Johor.

Pada tahun 2017, katanya, sebanyak 8,794 kes cerai bagi pasangan Islam dan 2,068 kes untuk bukan Islam di Selangor manakala 4,441 kes perceraian antara pasangan Islam dan 1,526 bagi bukan Islam di Johor.

Terdahulu, Hannah berkata, kementerian sedia menawarkan ‘ujian keserasian’ untuk bakal pengantin sebagai langkah mengurangkan kes perceraian dalam kalangan pasangan muda.

Katanya, statistik Kajian Penduduk dan Keluarga Kelima (KPKM-5) menunjukkan perceraian dalam kalangan pasangan muda di seluruh Malaysia terjadi selepas lima tahun mendirikan rumah tangga dan alasan yang digunakan adalah kerana tiada persefahaman.

“Kita lihat orang terburu-buru untuk berkahwin tetapi mereka tidak mengenali diri sendiri dan tidak mengenali pasangan.

“Maka kita juga pertimbangkan sama ada hendak wujudkan ‘compatibility test’ untuk orang yang bujang sebelum mereka berkahwin supaya mereka boleh datang (buat ujian keserasian).

“Orang yang hendak kahwin, kalau mereka ingin tahu sama ada pasangan mereka sesuai atau tidak, mereka boleh buat ‘compatibility test’ dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan soalan tambahan Datuk Azizah Mohd Dun (PH-Beaufort) pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan.

Azizah bertanya sama ada tempoh kursus pra-perkahwinan yang berlangsung selama dua hari bagi pasangan bakal berkahwin perlu ditambah atau ditambah baik bagi mengatasi punca penceraian itu. – UTUSAN ONLINE

Loading...