Dewan Rakyat Bersidang Ikut Jadual

KUALA LUMPUR – Parlimen sedang merangka langkah yang perlu diambil sebagai persiapan untuk persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan 18 Mei ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata beberapa pendekatan juga diambil kira berdasarkan perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokasi.

“Tumpuan utama kerajaan kini adalah memastikan semua rakyat, termasuk anggota Parlimen terjamin keselamatan mereka.

“Oleh itu semua pihak perlu memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas yang bertungkus-lumus memerangi wabak ini dengan mematuhi segala arahan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen Ke-14, yang kembali bersidang 18 Mei ini, akan berlangsung selama 15 hari, selepas pembukaannya dirasmikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin A’-Mustafa Billah Shah.

Sepanjang tempoh persidangan hingga 23 Jun itu, Dewan Rakyat akan bercuti tiga kali iaitu dari 26 hingga 28 Mei kerana sambutan Aidilfitri, 1 dan 2 Jun sempena Hari Gawai, serta 8 Jun sempena hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusoff, dilaporkan berkata pihaknya menerima surat rasmi daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Ketua Majlis, memaklumkan tarikh persidangan baharu bermula 18 Mei ini, berbanding jadual asal ditetapkan pada 9 Mac.

Beliau berkata, menerusi surat berkenaan, kerajaan memutuskan sesi Parlimen ditunda kepada tarikh lain, selain memaklumkan butiran mengenai takwim persidangan Dewan Rakyat bagi penggal ketiga tahun ini.

Loading...