Dewan Rakyat Bersidang Hingga Pengundian Belanjawan 2021

KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat hari ini berlangsung sehingga usul Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat dasar diputuskan.

Ia bermakna, baki sembilan kementerian akan menghabiskan sesi penggulungan sebelum pengundian RUU Perbekalan 2021 atau Belanjawan 2021 dilakukan secara belah bahagi.

Usul melanjutkan persidangan itu diluluskan selepas dibentang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, mengikut Peraturan Mesyuarat 12(1) sebelum sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) bermula.

Baca: Banyak Manfaat Bakal Diraih Malaysia Melalui RCEP

“Di bawah Peraturan 12(1), saya mohon mencadangkan mesyuarat hari ini tidak akan ditangguhkan sehingga selesai semua kementerian menjawab perbahasan di peringkat dasar RUU Perbekalan 2021 dan diputuskan bacaan yang kedua dan usul mengenai anggaran pembangunan,” katanya.

Sembilan kementerian yang akan menggulung perbahasan RUU terbabit iaitu Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Luar, Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Selain itu, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Kewangan. – BH Online