Detik Cemas Pewarta Bernama Semasa Letupan

KUCHING – Tidak sampai 10 minit pewarta Bernama di Sibu, Frank Julian Martin ambil tempat duduk di sebuah gerai makanan…

KUCHING – Tidak sampai 10 minit pewarta Bernama di Sibu, Frank Julian Martin ambil tempat duduk di sebuah gerai makanan segera apabila berlaku letupan yang menggegarkan tingkat bawah CityOne Megamall di sini kira-kira jam 3.30 petang tadi.

Beliau terkejut seketika tetapi apa yang mula terlintas dalam fikirannya ketika itu ialah mengenai anak perempuannya Joanna Cassandra yang ketika itu berada di sebuah kedai buku di tingkat tiga pusat beli-belah itu.

“Panggil Joanna, panggil Joanna,” Frank memberitahu isterinya, Bejau Japang, yang sedang membeli makanan di sebuah gerai dan dia segera menaiki eskalator yang terhenti dengan harapan untuk mencari anaknya.

Melihat kepada kerosakan yang disebabkan oleh letupan, Frank yakin ia tidak melibatkan kedai buku dan anak perempuannya selamat.

Selepas menerima panggilan dari isterinya yang menyatakan anak perempuan mereka selamat, dan oleh kerana memiliki naluri sebagai wartawan, Frank tanpa berlengah lagi mengambil rakaman video mengenai insiden itu lalu menghantarnya ke ibu pejabat Bernama di Kuala Lumpur.

Dia kemudian berlari balik ke tingkat bawah dan mendapati isteri dan anak perempuannya yang kebetulan adalah anggota Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia di sekolahnya, sedang membantu mangsa-mangsa yang cedera.

Mereka disertai oleh dua orang jururawat tempatan yang walaupun telah tamat waktu bertugas tetapi sanggup membantu dan orang awam yang menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pihak hospital untuk bantuan.

Frank yang bercuti di sini memaklumkan rakan-rakannya di Bernama Kuching dan menghantar Whatsapp kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak untuk meminta pihak berkuasa menghantar bantuan kerana jumlah mreka yang cedera mula meningkat.

Mangsa-mangsa yang mengerang kesakitan dan orang ramai berasa lega apabila pasukan bomba dan penyelamat serta ambulans mula tiba kira-kira jam 3.45 tengah hari.

“Saya ketakutan dan berfikir untuk mencari tempat yang selamat. Tetapi saya tidak sampai hati jika tidak membantu mereka yang cedera. Saya harus melakukan sesuatu dan anak perempuan saya juga membantu dengan memanfaatkan ilmu yang dipelajari sebagai anggota Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, “kata Bejau kepada Bernama.

Bejau terharu dengan kesediaan orang ramai yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama untuk membantu mangsa-mangsa yang cedera.

“Walaupun ramai daripada mereka tidak mempunyai kepakaran atau pengetahuan dalam menangani krisis seperti itu, mereka tampil dan membantu. Ada yang memberikan air kepada mangsa sambil mententeramkan mereka yang saya fikir membantu mangsa-mangsa untuk terus bersemangat kental,” katanya.

Sementara itu, Frank bekata jika tidak kerana eskalator bersebelahan, dia dan isterinya mungkin mengalami kecederaan akibat letupan tersebut kerana letupan itu berlaku kira-kira 50 meter dari tempat kami berada.

“Jika tidak kerana eskalator, kami berdua mungkin adalah mereka yang cedera. Kerana memikirkan apa yang akan berlaku kepada anak perempuan saya memang menakutkan saya. Tetapi nasib baik, kami semua selamat, ” katanya.

Gambar-gambar mengena insiden itu dikongsi melalui media sosial dan panggilan daripada saudara-mara dan rakan-rakan mencurah-curah diterima apabila mereka melihat Bejau dan Joanna dalam gambar tersebut.

Sehingga jam 6.30 petang, tiga orang maut sementara 29 orang cedera dalam letupan tersebut.

Insiden itu dipercayai berpunca daripada kebocoran gas di sebuah kedai yang sedang diubahsuai. – BERNAMA

Loading...