Desak AS Berhenti Jadi Boneka Israel

KUALA LUMPUR – Sekretariat Palestin Malaysia (SPM) hari ini berhimpun di Kedutaan Amerika Syarikat di sini bagi menyerahkan memorandum kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, menerusi memorandum itu, pihaknya mendesak supaya AS berhenti daripada menjadi boneka Israel dan berhenti menzalimi rakyat Palestin.

Katanya, sekretariat yang mewakili suara rakyat Malaysia itu akan terus mendesak AS untuk menghentikan sebarang usaha atau cubaan untuk menafikan hak rakyat Palestin dengan mengangkat Israel.

“Kami juga meminta rakyat di seluruh dunia untuk berpegang kepada undang-undang antarabangsa demi keadilan dan menyokong rakyat Palestin untuk mendapatkan kembali kebebasan dan demokrasi.

“Kami secara tegas juga menolak keras pendirian AS untuk menyokong Israel meskipun secara terang-terangan majoriti di dunia membantah polisi tidak adil AS itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada pada perhimpunan aman sempena Hari Al-Quds Sedunia 2019 di sini hari ini.

Terdahulu, kira-kira 1,000 peserta hadir pada perhimpunan aman itu yang turut di kawal ketat pihak polis.

Penyerahan memorandum kepada Timbalan Kaunselor Pejabat Politik, Kedutaan AS, Daniel W. Wright dilalukan Mohd Azmi dan Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Asia, Datuk Abdul Ghani Samsudin.

Menurut Mohd Azmi lagi, menerusi memorandum itu juga pihaknya turut mempersol apa kepentingan AS untuk menjadi alat Israel.

“Ape kepentingan AS khususnya Trump (dengan menyokong Israel) sedangkan lebih ramai rakyat AS yang siuman dan menolak tindakan pencabulan hak itu.

“Kerosakan yang dilakukan AS dan Israel ini telah mengakibatkan rakyat Palestin menderita sejak lebih 70 tahun lalu.

“Jadi, kami mendesak supaya AS berhenti daripada terus menjadi boneka dan alat kepada Israel yang jelas mencabul hak dan kebebasan rakyat Palestin,” katanya. – Sinar Harian