Dera, ‘Ragging’ Pernah Berlaku, Tapi Bukan Budaya UPNM

KUALA LUMPUR – Walaupun kes penderaan dan ‘ragging’ pernah berlaku tetapi perkara tersebut sama sekali tidak pernah menjadi budaya di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

UPNM dalam kenyataan hari ini menegaskan, pihaknya sama sekali tidak bertoleransi sekiranya terdapat penuntut di situ terlibat dengan kes penderaan dan buli.

“Mereka yang terbabit sudah dikenakan tindakan tatatertib termasuk pembatalan tauliah dan dihadapkan ke mahkamah. Ketika ini kita sedia maklum mengenai video tular dalam media sosial yang seolah-olah memberi gambaran dera adalah budaya di UPNM.

“Berdasarkan siasatan dalaman, video tular itu merupakan satu kes yang berlaku pada 2016 dan memberi gambaran tidak tepat mengenai keadaan ketika ini,” katanya di sini.

Beberapa hari lalu, satu rakaman video menunjukkan seorang lelaki berbaju putih dipukul seorang lagi lelaki selepas dikerumuni kira-kira tujuh individu lain didakwa berlaku di UPNM tular dalam media sosial.

Mengulas lanjut, UPNM memaklumkan pihaknya telah membuat laporan polis mengenai video tersebut bagi membolehkan siasatan dijalankan sekaligus mengenal pasti individu terlibat serta motif serangan.

UPNM juga menegaskan pihaknya akan terus memberi fokus kepada kecemerlangan akademik, penyelidikan dan usaha untuk melahirkan graduan berkualiti serta berkebolehan dengan ciri kepemimpinan lengkap.

Loading...