Demam K-Pop Naik Pelajaran Bahasa Korea

BAHASA Korea semakin meningkat popularitinya, didorong oleh populariti bintang-bintang pop negara Korea Selatan.

Hasrat untuk memahami lirik lagu K-pop seperti Gangnam Style telah menjadikan bahasa Korea amat popular di negara-negara seperti Amerika Syarikat, Kanada, Thailand dan Malaysia.

Laporan Persatuan Bahasa Moden menunjukkan kursus bahasa Korea dipelajari oleh semakin ramai pelajar, meningkat 14 peratus antara tahun 2013 dan 2016.

Ini berlaku pada masa yang sama bahasa-bahasa lain menyaksikan kemerosotan jumlah mereka yang mempelajarinya.

Statistik terakhir menunjukkan 14,000 orang belajar bahasa korea di AS, berbanding hanya 163 orang dua dekad lalu.

Laman web belajar bahasa Duolingo melancarkan kursus bahasa Korea tahun lalu atas permintaan ramai. Seramai 200,000 orang terus mengikuti kursus itu.

Profesor Andre Schmid juga melihat peningkatan minat ini di Universiti Toronto, tempat beliau mengkaji sejarah Korea.

Apabila universiti itu memperkenalkan kelas bahasa Korea 10 tahun lalu, hanya ada 30 pelajar mendaftar. Sekarang kelas bahasa Korea mempunyai 150 orang dan ada senarai menunggu yang panjang.

Pada masa yang sama, semakin ramai berminat belajar sejarah Korea.

Menurut Prof Schmid, populariti ini didorong oleh muzik pop dan drama Korea, dan beliau mengakui kegilaan K-pop telah sampai ke tempat yang tidak disangka.

“Antara pelajar saya, ada seorang gadis mula yang membesar di sebuah rumah ladang terpencil di Grey County Ontario, tetapi dia memilih Universiti Toronto kerana mahu belajar tentang Korea,” kata Prof Schmid.

“Ini semua tidak akan berlaku 15 tahun lalu. Fenomena ini dibantu oleh YouTube, yang membolehkan orang di tempat terpencil mendapat akses kepada produk budaya sebegitu,” katanya.

Gelombang populariti budaya Korea Selatan ini dikenali sebagai “Hallyu.”

Ia mula tersebar di luar Korea pada tahun 1990-an dan hari ini, kumpulan K-pop seperti BTS menarik jutaan orang di seluruh dunia.

Populariti ini sangat meluas hingga sebuah agensi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menjadikan topik K-pop untuk memulakan perbualan antara pelarian muda dari Asia Barat dengan pelajar di Barat melalui Skype.

Satu tinjauan di Algeria pula mendapati ramai peminat K-pop telah mula menggunakan istilah-istilah Korea dalam percakapan seharian.

Kerajaan Korea sudah mula memanfaatkan aset budaya ini dengan menubuhkan sekitar 130 pusat bahasa di 50 buah negara.

Tahun lalu, kerajaan Korea Selatan membiayai Institut Kajian Korea yang baharu ditubuhkan di Universiti George Washington di AS.

“Pusat seperti ini boleh menarik orang ramai yang berminat dengan Korea bermula dengan budaya popular, tetapi akan mendedahkan mereka kepada kajian Korea yang lain termasuk politik, perdagangan, sejarah dan banyak lagi,” kata Jenna Gibson, dari kumpulan pemikir Korea Economic Institute di AS.

Bagaimanapun, mereka yang tertarik dengan bahasa Korea akibat K-Pop perlu sedar yang mempelajari bahasa ini bukan mudah.

Sebuah agensi latihan di AS meletakkan bahasa Korea sebagai salah satu bahasa paling sukar untuk dipelajari oleh mereka yang bahasa pertamanya Inggeris.

Ji Hyun Park melarikan diri dari Korea Utara dan kini tinggal di Manchester di United Kingdom, di mana beliau mengajar bahasa Inggeris melalui khidmat Chatterbox.

“Bahasa berbeza digunakan untuk bercakap dengan orang dewasa dan kanak-kanak – perkataan seperti ‘hello’ dan ‘selamat malam’ berbeza bergantung dengan siapa kita bercakap,” katanya.

Katanya lagi, sebutan juga sangat sukar bagi penutur bahasa ibunda Inggeris, dan lirik lagu K-pop banyak mencampurkan Korea dengan Inggeris.

Ji Hyun juga nampak peningkatan populariti budaya Korea di UK.

“Semasa lagu Gangnam Style popular, anak saya yang remaja pada masa itu memberitahu yang kawan-kawannya menyanyikan lagu itu walaupun tidak memahami liriknya,” katanya.

Mungkinkah populariti bahasa Korea yang mendorong ribuan orang mempelajarinya memberi kesan pada Korea Utara?

Ji Hyun yang pernah ditahan di khemah tahanan di Korea Utara berpendapat ini mungkin satu petanda yang baik.

“Baguslah kerana dengan mempelajari bahasa Korea, pada masa depan nanti apabila bertemu dengan orang Korea Utara mereka boleh mendapat lebih banyak maklumat tentang Korea Utara,” katanya.

“Manakala orang Korea Utara pula boleh mempelajari lebih banyak tentang apa yang berlaku di luar negara mereka.” – BBC

Loading...