Dedah Rakaman Audio Amaran Elak Perbuatan Jahat

KUALA LUMPUR – Pendedahan rakaman audio yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah amaran buat semua.

Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar mengingatkan semua rakyat Malaysia termasuk ahli politik dan pegawai awam untuk tidak melakukan perkara jahat.

“Pendedahan ini merupakan satu titik tolak kepada Malaysia baru, maknanya jika kita transparent, maka sudah tentu pendedahan ini patut dilakukan demi kepentingan rakyat.

“Jadi pada sesiapa sahaja termasuk ahli politik, pegawai awam yang terlibat dalam kegiatan tidak baik jangan cari pasal.

“Ini merupakan satu amaran dari agensi penguatkuasa bahawa mereka mempunyai alat yang boleh mengesan,” katanya menerusi program Agenda AWANI Plus yang bersiaran pada Rabu malam.

Bagaimanapun, jelasnya Datuk Seri Akhbar, pendedahan tersebut mempunyai pro dan kontra terutamanya terhadap kepentingan awam.

Berdasarkan Seksyen 29 (4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009, pendedahan tersebut boleh dibuat dengan persetujuan seorang pegawai suruhanjaya yang berpangkat pesuruhjaya.

Pada 8 Januari, SPRM telah memutarkan rakaman audio perbualan yang didakwa kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan perbualan lain yang dikatakan berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad dan SRC International Sdn. Bhd.

Klip audio itu dipercayai perbualan yang melibatkan Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan beberapa individu lain. – Astro AWANI

Loading...