Dedah Kesesatan Bukan Bermaksud Hina Islam

PARIT BUNTAR – Mendedahkan kesesatan bukan bermaksud menghina Islam, sebaliknya ia bertujuan sebagai pengajaran agar masyarakat Islam tidak terpengaruh dan sesat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa.

Beliau berkata ketika ini terdapat banyak pihak yang sering menggunakan retorik Islam untuk menarik perhatian orang ramai.

“Sekarang ini ramai yang menggunakan Islam tetapi dipakai untuk diri sendiri dan kelompok mereka sendiri,” katanya kepada pemberita selepas menonton tayangan khas filem Polis Evo 2 di Mydin Mall di sini, hari ini.

Pelakon utama filem itu Shaheizy Sam turut hadir menonton bersama-sama dengan Mujahid, anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Mengenai filem itu, Mujahid yang juga Anggota Parlimen Parit Buntar berkata mesej yang dibawa amat jelas kerana agama sekarang boleh digunakan dalam pelbagai bentuk yang tidak bersifat tuntutan agama tetapi lebih kepada kepentingan lain.

Menurut beliau filem itu tidak ada unsur menghina dan menggunakan Islam, sebaliknya yang ada hanya menceritakan mengenai terdapat pihak menggunakan Islam untuk kepentingan jenayah.

Dalam pada itu, Mujahid meminta masyarakat supaya menjadi mata dan telinga kepada kerajaan dan tidak menyerahkan tanggungjawab menjaga keselamatan negara kepada pihak berkuasa sahaja. – BERNAMA

Loading...