Dedah Bajet Agong: Polis Buka Siasatan Ke Atas Kadir

POLIS mengesahkan Ketua Unit Media Majlis Penasihat Kerajaan, Datuk A. Kadir Jasin disiasat berhubung tulisan di blognya berhubung peruntukan perbelanjaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata kertas siasatan telah dibuka mengikut Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah.

Katanya, polis telah menerima tiga laporan terhadap Ketua Media dan Komunikasi, Majlis Penasihat Kerajaan itu susulan artikel yang ditulis di dalam blog peribadinya.

Kaitan: RM257 Juta Dibelanja Agong Dalam 16 Bulan – Kadir Jasin

“Kami menerima tiga laporan setakat ini dari Selangor dan Kelantan dan kertas siasatan sudahpun dibuka ke atas kes ini,” kata Fuzi seperti yang dipetik sebuah portal berita tempatan.

Siasatan itu berhubung catatatan di blognya dalam bahasa Inggeris bertajuk “Constitution: The King and the Pauper” yang disiarkan pada Isnin lalu.

Kadir malah mendakwa pihak kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM257 juta kepada Yang di-Pertuan Agong untuk 16 bulan sehingga April tahun ini.

Menurutnya, purata RM16 juta sebulan dibelanjakan oleh pihak istana meliputi penyelenggaraan kediaman dan istana, barangan peribadi, pesawat dan pengangkutan, latihan dan peralatan pengiring, pakaian dan barangan upacara, hadiah dan cenderamata, lawatan luar negara dan gaji kakitangan istana.

Bekas ketua pengarang kumpulan The New Straits Times Press itu bagaimanapun tudak menyatakan sumber maklumat berhubung perbelanjaan istana itu diperolehi. – MYNEWSHUB.CC

Loading...