Friday, March 29, 2024

Creating liberating content

Ambil Iktibar Kemajuan Korea...

KUALA LUMPUR - Malaysia boleh mengambil iktibar daripada kemajuan dan kepakaran Korea Selatan...

Operasi Anti Rasuah Kutip...

RIYADH - Seramai lapan individu masih berada dalam tahanan susulan operasi anti rasuah...

2 Pelajar Maut Dalam...

SUNGAI PETANI - Dua pelajar yang menunggang motosikal maut dalam dua kejadian berasingan...

Keputusan UPSR Diumumkan Pada...

PUTRAJAYA - Keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2017 akan diumumkan pada...

DBP Laku Pelbagai Usaha Galak Bahasa Malaysia

KUALA LUMPUR – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah melaksanakan pelbagai usaha untuk memastikan semua pihak mematuhi peraturan yang digariskan dalam Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (Pindaan dan Perluasan) 1995 yang menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan.

DBP dalam kenyataan hari ini berkata agensi itu juga telah melaksanakan pelbagai kaedah dalam mengembangkan bahasa kebangsaan termasuk melalui peneguhan dasar bahasa, perkhidmatan, pemantauan, penyebaran, pemupukan dan penataran bahasa di samping kerjasama strategik dengan kementerian, jabatan, agensi kerajaan dan swasta.

Usaha itu juga diperkukuhkan melalui jawatankuasa bersama yang dibentuk dari semasa ke semasa termasuk penubuhan Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan yang dipengerusikan Menteri Pendidikan (Dr Maszlee Malik) untuk memantapkan usaha memartabatkan Bahasa Malaysia di 18 sektor.

Selain itu, DBP turut melaksanakan audit Bahasa Malaysia dalam perkhidmatan awam dan pemantauan bahasa secara berterusan di sektor awam, swasta dan di tempat awam.

“Sebanyak 25 surat teguran telah dikeluarkan kepada pihak yang melakukan kesilapan bahasa pada 2017 dan 2018 supaya tindakan pembetulan dilakukan.

“Di samping itu, DBP turut melaksanakan penguatkuasaan pengesahan bahasa dalam iklan di tempat awam dengan 93,362 iklan telah disahkan penggunaan bahasanya pada 2017,” menurut kenyataan itu yang dikeluarkan susulan kenyataan Penaung Alumni Institut Bahasa Melayu, Tan Sri Dr Rais Yatim baru-baru ini.

Rais sebelum ini dilaporkan berkata DBP tidak lagi boleh diharapkan dalam usaha untuk memartabatkan pemahaman dan penggunaan Bahasa Malaysia di negara ini.

Mengenai sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan, DBP berkata mereka menyedari hebahan dan laporan media terhadap program berkenaan tidak meluas sehingga menyebabkan banyak pihak tidak menyedari penganjuran tersebut.


Bagaimanapun, katanya tahun lepas sahaja sebanyak 150 kegiatan bahasa dan sastera telah dilaksanakan di seluruh negara.

Menurut DBP lagi, bahasa bersifat dinamik dan sentiasa berkembang mengikut zaman, justeru kemasukan kata-kata daripada sesuatu bahasa ke dalam sesuatu bahasa yang lain tidak dapat dihindari sejak dahulu lagi.

Katanya perkembangan sesuatu bahasa bergantung kepada penggunaan dan usaha memperkayakannya termasuk dengan menambah atau mengambil kosa kata baharu daripada bahasa lain, sama ada semula jadi atau terancang.

Faktor peminjaman bahasa ini terjadi disebabkan pertembungan bahasa dan budaya selain keperluan, kepentingan dan kehendak pengguna bahasa peminjam itu sendiri.

Malah pengambilan isitilah asing dan terus menjadikannya sebagai istilah Bahasa Malaysia dengan menyesuaikan bentuknya mengikut aturan dan sistem pembentukan kata dalam Bahasa Malaysia merupakan sebahagian usaha memajukan dan memodenkan bahasa itu agar bersesuai dalam apa sahaja bidang ilmu. – BERNAMA

Kategori