DBKL Serbu Premis Kelab Malam Langgar Peraturan

KUALA LUMPUR – Pengunjung premis kelab malam di sekitar di ibu negara gempar apabila pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan operasi pemeriksaan lesen terhadap pusat hiburan berkenaan awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan dan Pembangunan Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk M. Noor Azman Taib yang turut menyertai operasi itu berkata hasil pemeriksaan DBKL ke atas kelab malam berkenaan berkata terdapat dua daripada tiga premis itu mengingkari syarat ditetapkan.

Beliau berkata pemeriksaan premis pertama di Jalan Imbi mendapati pemiliknya gagal mempamerkan lesen dan nama premis kelab malam.

“Sebuah notis pemberitahuan tentang kesalahan yang dilakukan di bawah Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992 dan Akta Hotel 2003 telah dikeluarkan kepada pemilik premis.

“Selain itu, DBKL bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) juga telah menjalankan ujian saringan air kencing kepada 41 pengunjung kelab malam itu dan 13 daripadanya positi dadah jenis methamphetamine,” katanya pada sidang akhbar dalam Op Bah siri 48 di premis itu.

M. Noor Azman berkata manakala premis kedua berhampiran lokasi yang sama turut diperiksa dan tiada kesalahan yang dikesan melibatkan premis itu.

Beliau berkata premis kelab malam ketiga berhampiran KLCC yang diperiksa didapati tidak memiliki lesen pengoperasian kelab malam dan beroperasi lebih masa.

“Oleh itu, DBKL mengambil tindakan dengan menyita premis kelab malam itu dan memberikan tiga notis kompaun atas kesalahan bawah Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992,” katanya sambil menjelaskan premis itu telah beroperasi sejak setahun lalu ini didapati telah tamat tempoh lesen hiburan.

Beliau berkata operasi yang bermula pada 10 malam dan berakhir pada 5 pagi itu turut disertai Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, AADK dan Lembaga Hasil Dalan Negeri melibatkan seramai 354 anggota . – BERNAMA

Loading...