DBKL Sanggah Kenyataan Kok Wai

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan dakwaan 42 plot tanah milik pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dijual sejak Tan Sri Annuar Musa dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.

Jabatan Perancangan Korporat DBKL, berkata semakan mendapati 42 plot tanah milik persendirian di Kuala Lumpur memohon proses perubahan kepada zon guna tanah, kepadatan penduduk dan nisbah plot terhadap Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 (PBRKL2020).

Mengenai 97 transaksi penjualan tanah DBKL katanya, secara keseluruhan transaksi pelupusan tanah berlaku sebelum 2020 dan tidak membabitkan keputusan Annuar.

“Akta Perancangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1982 (Akta 267) memperuntukkan bagi pemilik untuk mengubah zon guna tanah, kepadatan penduduk dan nisbah plot dalam Pelan Tempatan (PBRKL2020) diwartakan.

“Ia selaras dengan peruntukan Seksyen 17 Akta 267. Daripada 42 plot terbabit, tiga permohonan perubahan diwartakan, enam dalam proses pewartaan, manakala 33 masih dalam pertimbangan.

“Semua proses ini mengikut peruntukan termaktub dalam akta sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan itu mengulas dakwaan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai mengenai banyak tanah milik DBKL dijual kepada pihak swasta untuk dimajukan serta dibangunkan sebagai projek perumahan, campuran komersial dan sebagainya, sejak Annuar dilantik Menteri Wilayah Persekutuan.

Kok Wai yang juga Pengerusi DAP Kebangsaan itu turut mendakwa sebanyak 42 plot tanah DBKL sudah terjual dalam tempoh lapan bulan Annuar berkhidmat sebagai Menteri Wilayah Persekutuan. – BH Online

Loading...