DBKL Rampas Unit PA & PPR Transit Ditawar Rumah

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan bertindak merampas unit Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) daripada mana-mana penghuni rumah transit sementara yang telah mendapat tawaran pembelian rumah kos rendah.

DBKL dalam satu kenyataan hari ini berkata semua penghuni rumah tersebut diseru supaya menyerahkan semula unit rumah tersebut kepada pihaknya sebelum sebarang tindakan dikenakan.

“Tindakan rampasan rumah itu dilaksanakan bagi membolehkan DBKL mengeluarkan tawaran awam baharu kepada mereka yang lebih memerlukan untuk menduduki PA dan PPR,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 32 unit rumah yang ingkar akan arahan itu telah diambil tindakan menerusi Operasi Rampasan Rumah Transit di Perumahan Awam Desa Rejang pada 6 Ogos lalu menerusi notis yang telah diberikan pada 5 Julai lepas.

Ia merupakan tindakan susulan daripada 134 notis penamatan perjanjian penyewaan yang telah dikeluarkan kepada penghuni yang masih belum menyerahkan rumah bermula pada 15 Jun 2017.

Kesemua 134 penghuni yang menerima notis itu adalah antara 350 penduduk Rumah Panjang Setapak Jaya yang telah dipindahkan secara transit untuk tempoh lapan tahun oleh pihak pemaju ke Perumahan Awam Desa Rejang pada tahun 2008.

Mereka juga telah memilih opsyen membeli Rumah Kos Rendah 20 tingkat yang akan dibina oleh pemaju sebanyak 168 unit rumah pada tahun 2011.

Selain itu, perjanjian penjualan rumah juga telah ditandatangani pada 2013 dan kunci rumah baharu telah diterima oleh pembeli daripada pemaju bermula Oktober 2016 untuk berpindah ke rumah baharu itu. – BERNAMA

Loading...