Datuk Seri Direman Suapan Pembekalan Kereta Kebal

PUTRAJAYA – Seorang lagi suspek yang merupakan pemilik syarikat bergelar Datuk Seri direman berhubung kes menerima suapan bagi projek pembekalan peralatan kereta kebal bernilai RM17 juta.

Lelaki berusia 39 tahun itu direman selama empat hari sehingga Khamis ini.

Perintah tersebut dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas membenarkan permohonan reman dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suspek ditahan pada pukul 11 malam semalam selepas hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini.

Penahanan itu menjadikan sebanyak tiga individu telah direman membabitkan kes suapan bagi projek pembekalan tersebut.

Sebelum ini, dua individu iaitu ketua pegawai eksekutif (CEO) dan ketua pegawai kewangan (CFO) wanita sebuah syarikat swasta juga direman membabitkan kes sama.

Wanita itu dibebaskan selepas tamat tempoh reman pada 16 Mei lalu namun, tempoh reman lelaki bergelar Datuk itu dilanjutkan selama empat hari lagi sebelum dibebaskan hari ini.

Akhbar baru-baru ini melaporkan CEO dan CFO itu ditahan SPRM kerana menerima suapan bagi projek pembekalan peralatan kereta kebal milik agensi pertahanan negara.

Sumber berkata, CEO bergelar Datuk bersama CFO berkenaan disyaki menerima wang suapan membabitkan projek pembekalan peralatan kenderaan itu bernilai lebih RM17 juta.

CEO lelaki berusia 45 tahun mana CFO wanita berusia 53 itu dilaporkan ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

Menurut sumber itu, kedua-dua suspek disyaki menerima wang rasuah berjumlah ratusan ribu ringgit daripada beberapa syarikat berkaitan penganugerahan projek pembekalan peralatan kereta perisai AV8 dan Adnan antara 2014 sehingga 2017.

Sumber sama menambah, SPRM telah rampas beberapa beg tangan mewah dan mata wang asing di kediaman CEO berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Loading...