‘Datuk’ Nak Bantah Kes 4 Lelaki Ditembak Mati

KUALA LUMPUR – Polis menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki mendakwa sebagai ‘Datuk’ mewakili sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu mengadakan bantahan secara berkumpulan susulan kejadian empat suspek samun ditembak mati.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh menerima laporan daripada lelaki itu kelmarin berkaitan isu bantahan sahaja dan tidak berbangkit sebarang cubaan untuk merusuh. 

Beliau berkata, setakat ini, keadaan masih terkawal dan pihaknya menolak sebarang kemungkinan rusuhan akan berlaku.

“Kita masih giat menyiasat perkara ini termasuk bila dan di mana mereka akan buat bantahan itu.

“Jangan bimbang, keadaan masih terkawal di Sungai Buloh,” katanya.

Kelmarin, polis dilaporkan menyiasat sama ada empat suspek kes samun ditembak mati mempunyai rangkaian kumpulan atau bekerjasama dengan pihak lain bagi menjalankan aktiviti jenayah itu di Selangor sejak awal tahun ini.

Arjunaidi dipetik berkata, polis juga menyiasat kemungkinan ada suspek lain yang ada hubungan dengan empat lelaki terbabit.

Empat suspek kes samun di Rawang maut ditembak polis ketika melarikan diri daripada pemeriksaan dengan menaiki sebuah kereta di Sungai Buloh, Jumaat lalu.

Semua lelaki berkenaan berusia lingkungan 20-an sebelum itu dipercayai terbabit dalam kes samun sebuah rumah di Taman Pelangi, Rawang dekat sini. – BH Online