Datuk Kesavadas Dipilih Sebagai Senator Wakili N.Sembilan

SEREMBAN – Naib Pengerusi DAP Negeri Sembilan Datuk A. Kesavadas Nair, 59, hari ini dipilih sebagai Senator bagi mewakili Negeri Sembilan di Dewan Negara.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Zulkefly Mohamad Omar mengumumkan pemilihan itu setelah mendapat sokongan majoriti daripada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada hari terakhir persidangan.​

Pelantikan Kesavadas untuk tempoh tiga tahun dicadangkan Menteri Besar, Aminuddin Harun manakala ADUN Bahau (DAP) Teo Kok Seong menyokong cadangan tersebut.

Kesavadas yang berasal dari Selangor merupakan seorang peguam dan menjadi ahli DAP sejak tahun 2008.

Beliau mempunyai pengalaman selama 28 tahun sebagai peguam.

Selain di Seremban, pejabat guamannya, A.K. Das & Associates turut mempunyai cawangan di Melaka dan Terengganu.​​​​​​​

​​​​​​​Bercakap kepada pemberita, beliau akan memberi fokus kepada isu pembangunan, pelancongan dan undang-undang dalam Dewan Negara.​​​​​​​

​​​​​​​Selain daripada itu, beliau turut memberi perhatian terhadap kebajikan kaum India di negeri ini.

“Saya gembira dan berterima kasih pemimpin DAP negeri yang telah mencalonkan nama saya sebagai Senator,” katanya. – BERNAMA

Loading...