Datuk Ammar Shaikh Mahmood Dilantik SUK Kedah Baharu

ALOR SETAR – Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim hari ini dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah yang baharu, menggantikan Datuk Bakar Din yang tamat kontrak perkhidmatannya semalam.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Isahak Murat pula dilantik sebagai Pegawai Kewangan Negeri menggantikan Ammar yang sebelum ini memegang jawatan itu.

Majlis pengurniaan tau­liah pe­lantikan ke­­­­dua-dua jawatan itu di­sempurnakan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Balairung Seri Besar, Istana Anak Bukit di sini, hari ini.

Turut menyaksikan pe­ngur­niaan tauliah itu ialah Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin, Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tunku Laksamana Kedah, Datuk Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Datuk Dr Ismail Salleh yang mewakili Menteri Besar Kedah serta barisan Exco kerajaan negeri.

Sementara itu, semasa ditemui pemberita kemudiannya, Ammar, 56, berkata ja­watan ter­sebut merupakan sa­tu amanah dan tang­gungjawab berat yang perlu dipikulnya terutama sekali untuk terus memacu pembangunan negeri ini.

“Dalam hal ini semua orang perlu bersedia menerima perubahan yang berlaku kerana kita perlu memberikan perkhidmatan yang cekap dan lebih berintegirti kepada rakyat dan semua pihak perlu bekerja keras.

“Kita kena tahu apa yang baik untuk rakyat dan mana-mana kerajaan harus tahu kehendak rakyat dan keperluan rakyat untuk dipenuhi. Kedah tidak terkecuali dalam hal tersebut,” katanya.

Isahak, 55, pula berkata, tumpuan beliau adalah ke arah untuk meningkatkan hasil negeri selain pengurusan kewangan negeri lebih berhemah seperti yang dikehendaki kerajaan baharu tanpa mengetepikan keperluan rakyat.

Katanya, untuk meningkatkan hasil negeri, kerajaan tidak lagi mengharapkan sumber balak sebaliknya perlu melihat kepada sumber baharu seperti pelancongan kerana Kedah memiliki hutan-hutan yang menarik untuk pelancongan.

“Saya akan bekerjasama dengan pelbagi pihak melalui makmal mencari sumber baharu yang ditubuhkan nanti untuk merangka, mencari dan menyusun kaedah-kaedah baharu meningkatkan pendapatan negeri

Ammar, berasal dari Alor Setar memulakan kerjaya sebagai seorang pegawai tadbir negeri pada 1 Sept 1987 sebelum dilantik memegang beberapa jawatan penting seperti Ketua Audit Dalam Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Pentadbir Tanah Daerah Kuala Muda dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan).

Isahak, berasal dari Kuala Ketil, Baling yang memulakan kerjaya sebagai pegawai tadbir negeri pada 1987, terlibat secara langsung dalam perancangan pembangunan negeri Kedah melalui Pelan Tindakan Pembangunan Kedah 1990-2000, Pelan Tindakan Kedah Maju 2010 dan Pelan Tindakan Kedah Sejahtera. – BERNAMA

Loading...