Datang Awal Ke Sambutan Ambang Tahun Baharu Di Kuching Waterfront

KUCHING – Orang ramai dinasihatkan datang awal untuk sama-sama menyambut ambang tahun baharu dan pelancaran Kempen Visit Sarawak oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Kuching Waterfront esok.

Penganjur program dalam satu kenyataan berkata beberapa jalan menghala ke Kuching Waterfront akan ditutup awal dan polis trafik akan berkawal di lokasi terbabit bagi membantu pengguna jalan raya.

Sambutan itu akan bermula 5 petang esok dengan persembahan daripada artis popular seperti Noryn Aziz, Rem, Shafiq Farhain dan penyanyi tempatan terkenal antaranya Roxanne Lee, Felicia Gek, Gabriel Fairuz Louis, Mohd. Firdaus Materang, Siti Hajar Mohidin dan Nur Fauzana Wahid.

Kumpulan muzik tempatan juga akan menghiburkan pengunjung iaitu At Adau, Belio Buskers, Legacy Band, On String Band serta persembahan daripada pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak dan Lim Kok Wing Creative University.

Kemuncak acara adalah pertunjukan bunga api pada tengah malam selain persembahan tarian Melayu, ajat Iban, Melanau dan Orang Ulu serta pertunjukan air pancut berirama. – BERNAMA

Loading...