Darurat: Badan Kehakiman Berfungsi Seperti Biasa

KUALA LUMPUR – Badan kehakiman akan terus berfungsi untuk menegakkan hukum dan keadilan biarpun ketika pelaksanaan darurat.

Jaminan itu diberikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut menegaskan bahawa Kerajaan Perikatan Nasional akan terus mempertahankan kebebasan badan kehakiman dan tidak akan sekali-kali mencampuri urusan mahkamah. 

Katanya, aktiviti ekonomi juga akan terus berfungsi tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

“Kerajaan akan memastikan aktiviti ekonomi tidak terhenti agar rakyat mampu untuk terus bekerja dan perniagaan, perdagangan dan industri dapat terus beroperasi seperti biasa. 

“Kerajaan juga komited untuk memastikan amalan governans terbaik terus diamalkan sepanjang tempoh pelaksanaan darurat.

“Organisasi kawal selia negara yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, iaitu Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, serta Bursa Malaysia, akan terus memainkan peranan mereka sebagai pemangkin, pengawal selia dan pemudah cara syarikat dan pasaran,” katanya hari ini.

Perdana Menteri turut menekankan bahawa Malaysia sentiasa terbuka untuk pihak berkepentingan menjalankan perniagaan di negara ini.

Katanya, dalam menghadapi masa yang mencabar ini, pelaksanaan darurat akan memberikan kestabilan yang diperlukan untuk fokus kepada pemulihan dan pertumbuhan ekonomi.

“Kami tetap komited untuk mentadbir dengan baik pada masa ini dan mempunyai ekosistem peraturan yang kuat dan dinamik.

“Kita harus ingat bahawa kerajaan mempunyai strategi enam tahap untuk pemulihan ekonomi sejak Mac tahun lalu dan dimasukkan dalam Belanjawan 2021. 

“Kestabilan yang berterusan akan membolehkan kita mempertahankan dan memulihkan ekonomi yang kita jalankan sejak tahun lalu,” katanya. – myMetro Online